Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

SOALAN:

Assalamulaikum wbt,

Surau saya menganjurkan majlis korban sempena hari raya haji. Memandangkan hanya tiga penyertaan diterima, surau mengambil keputusan menaja empat bahagian korban bagi menggenapkan bahagian kepada tujuh (seekor lembu). Empat bahagian itu ditaja menggunakan wang orang ramai dengan menamakan empat orang anak qariah yang bukan dalam kalangan fakir miskin.

1) Adakah korban itu sah?

2) Siapakah yang patut berniat korban, AJK surau atau orang yang ditaja?

3) Adakah orang yang bukan fakir miskin boleh ditaja korban mereka?

4) Duit yang digunakan untuk menaja korban ialah duit orang ramai. Bolehkah AJK surau membuat keputusan dalam masalah ini seperti mana mereka boleh berbelanja untuk aktiviti lain menggunakan wang sumbangan umum (sumbangan yang bukan spesifik untuk aktiviti tertentu)?

5) Jika tidak sah, apa yang boleh dilakukan untuk mengesahkan korban itu?

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

1) Kami berpendapat bahawa korban tersebut adalah sah kerana cukup semua syarat-syaratnya.

2) Niat dilakukan oleh empat orang anak qariah tersebut ketika menyembelih, atau ketika menyerahkan haiwan berkenaan untuk disembelih oleh penyembelih, atau ketika haiwan berkenaan disembelih oleh penyembelih kerana dia mengambil kapasiti yang sama selaku orang yang berkorban.

3) Sunat individu yang dipilih itu daripada kalangan fakir miskin.

4) Kami berpendapat boleh menaja korban menggunakan duit masjid jika tujuan dana berkenaan adalah umum bagi aktiviti kebajikan. Ini mengambil peranan baitulmal yang harus digunakan dananya untuk tujuan korban. Dana masjid kebiasaan digunakan untuk aktiviti seperti memberi makan orang ramai, saguhati kepada guru-guru pengajar dan memberi bantuan kepada orang yang ditimpa kemalangan. Justeru, sekalipun maslahahnya diberi kepada individu tetapi ia termasuk dalam amal kebajikan juga akhirnya. Orang ramai yang menyumbang kepada dana berkenaan juga Insya Allah akan diganjarkan pahala juga.

Kami juga mencadangkan bagi orang dipilih sebagai penama dalam bahagian korban itu berniat seperti:

“Inilah qurban aku dan kaum Muslimin kerana Allah”

Ini berdasarkan perkataan Rasulullah SAW sewaktu hendak menyembelih korban:

بِاسْمِ اللهِ، اللهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ، وَآلِ مُحَمَّدٍ، وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّد

Maksudnya: Dengan nama Allah, Ya Allah terimalah korban dari Muhammad, keluarga Muhammad dan umat Muhammad.

Hadis riwayat Muslim (1967)

Rujukan:

1) al-Zuhaili, Syeikh Muhammad. 2015. Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie. Dar al-Qalam: Damsyik. Jilid 2.

2) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). 2013. Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Qurban. Muat turun: http://www.islam.gov.my/…/garis_panduan_pelaksanaan_ibadah_…

Wallahua’lam.