Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+

 

 

 

Mukadimah

Al-Quran adalah kitab yang menjadi panduan semua umat Islam dan dimuliakan sepanjang zaman. Menurut Jumhur ulama, wajib bagi seseorang Muslim itu suci daripada hadas kecil dan besar sebelum dia memegang mushaf atau menanggungnya. Firman Allah SWT:

 

لَا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Maksudnya: “Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.”

[Surah al-Waqi`ah: 79]

 

Larangan ini juga berlaku ke atas orang kafir secara qias. Disebabkan kemuliaannya itu, para fuqaha  silam telah bersepakat bahawa menjual mushaf al-Quran kepada orang kafir adalah dilarang. Larangan ini menurut Jumhur adalah larangan yang bersifat haram, manakala sebahagian ulama mazhab Hanafi menganggapnya adalah larangan bersifat makruh. [Rujuk al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 9/230] Bahkan, di dalam mazhab al-Syafie menurut pendapat yang sahih adalah makruh berjual beli mushaf sekalipun mereka mengabsahkan transaksi jual beli termasuk kos sewaan dan percetakan. [Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 9/252]

 

Begitu juga dalam soal pemilikian. Para ulama melarang seseorang Muslim membelikan mushaf al-Quran bagi pihak seorang kafir. Di sisi Jumhur, hukum jual beli tersebut tidak sah, manakala Mazhab Syafie memiliki dua pandangan. Pandangan yang azhar ialah tidak, manakala pendapat kedua jual beli itu sah tetapi terlucut hak pemilikan daripada orang kafir itu secara serta merta. [Rujuk al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, 113] Di samping itu juga, tidak sah (haram) menghadiahkan orang kafir dengan al-Quran dan juga tidak sah mewasiatkan al-Quran kepada orang kafir. [Rujuk al-Mughni, 104/6]

 

Ini hendak menunjukkan betapa mulianya al-Quran dan usaha para ulama untuk mempertahankan kemuliaan al-Quran sebagaimana kesepakatan mereka atas kewajipan mengagungkan al-Quran tanpa sebarang syak, menyucikan dan memeliharanya. [Rujuk al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, 164]

 

Hukum Menghadiahkan Naskhah al-Quran Kepada Orang Bukan Islam

Dalam isu ini, terdapat dua pandangan ulama:

 

  1. Pandangan yang tidak membenarkan
  2. Pandangan yang membenarkan dengan syarat.

 

Pandangan Yang Tidak Membenarkan

Mereka mengqiyaskan dengan pengharaman memberi milik mushaf kepada orang kafir. Ini berdasarkan sebuah hadis di dalam al-Sahihayn:

 

عَنْ عَبْدِاللهِ بْنِ عُمَر َرَضيَ اللهُ عنهما أنَّ رَسُولَ اللهِ - صلى الله عليه وسلم - نَهَى أنْ يُسَافَرَ بِالقُرْآنِ إِلَى أرْضِ العَدُوِّ. متفق عليه

Daripada Abdullah bin Umar RA, bahawa Rasulullah SAW melarang bermusafir dengan al-Qur’an ke tempat musuh.”

 [Riwayat al-Bukhari (2990) dan Muslim (1869)]

 

Imam al-Nawawi mengatakan pada hadis ini terdapat larangan permusafiran dengan membawa al-Quran ke negara orang kafir atas sebab yang dinyatakan di dalam hadis (di dalam riwayat lain) iaitu bimbang musuh akan menghina al-Quran, maka dengan itu akan mencemarkan kesucian al-Qur’an itu sendiri. Jika aman daripada perkara tersebut seperti masuknya tentera Islam ke dalam negara bukan Islam yang mana tentera Islam sedang menguasai ke atas orang yang bukan Islam, maka hal ini tidak makruh dan tiada larangan disebabkan hilangnya sebab (larangan tersebut). Ini adalah sahih (tepat) serta disokong oleh Abu Hanifah, al-Bukhari dan selain daripada mereka. Adapun Imam Malik dan sebahagian daripada ashab kami (ulama al-Syafi’eyyah) berpendapat larangan itu bersifat mutlak (walaupun tiada sebab). [Rujuk al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 13/13]

 

 

  • Syeikh Wahbah al-Zuhaili berkata di dalam kitabnya:

 

ويحرم بيع المصحف لمسلم أو لكافر، لأن تعظيمه واجب، وفي بيعه ابتذال له وترك لتعظيمه، ولأن الكافر يمنع من استدامة ملك المصحف، فيمنع من ابتدائه

Maksudnya: “Diharamkan menjual al-Qur’an untuk orang Islam atau untuk bukan Islam kerana memuliakannya (al-Qur’an) adalah wajib. Dengan menjual al-Qur’an akan menghilangkan penghormatannya atau meninggalkan pengagungan terhadap al-Quran. Ini kerana, orang kafir dihalang berterusan dengan memiliki al-Quran maka ia perlulah dihalang pada peringkat awal lagi.”

[Rujuk Fiqh al-Islami Wa Adillatu, 3363/5]

 

Hal ini juga disokong oleh kenyataan di dalam Mausu’ah al-Fiqh al-Islami:

 

لا يجوز بيع ولا إهداء المصحف للكافر؛ خشية إهانته له، وانتهاكه لحرمته

Maksudnya: “Tidak dibolehkan menjual atau menghadiahkan al-Qur’an kepada orang yang bukan Islam kerana khuatir al-Qur’an akan dihina oleh orang yang kafir atau ia akan menghilangkan penghormatan (kesucian) al-Qur’an itu sendiri.” [Rujuk Mausu’ah al-Fiqh al-Islami, 433/3]

 

Begitulah juga kitab-kitab fiqh sekalian kitab-kitab berkaitan ilmu syarak. Berkata Imam al-Nawawi:

 

قَالَ أَصْحَابُنَا وَحُكْمُ كُتُبِ الْفِقْهِ الَّتِي فِيهَا آثَارُ السَّلَفِ حُكْمُ الْمُصْحَفِ فِي هَذَا هُوَ الصَّحِيحُ الْمَشْهُورُ وَشَذَّ الْمَاوَرْدِيُّ عَنْ الْأَصْحَابِ فَقَالَ بَيْعُ كُتُبِ الْحَدِيثِ وَالْفِقْهِ لِلْكَافِرِ صَحِيحٌ

 Maksudnya: “Berkata para ashab kami, bermula hukum kitab-kitab fiqh yang di dalamnya terdapat athar salaf (riwayat dan karangan ulama generasi yang terawal) mengambil hukum (jual beli) mushaf menurut pendapat yang sahih lagi masyhur, dan Imam al-Mawardi daripada ashab mengeluarkan pendapat yang syadz (asing) dengan mengatakan jual beli buku hadis dan fiqh dengan orang kafir itu dibenarkan.” [Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 9/355]

 

 

Justeru, kitab tafsir al-Quran juga termasuk dalam pengertian kitab-kitab ilmu syarak yang mendapat kemuliaan dan perlindungan yang sama daripada bahaya penghinaan jika jatuh ke tangan orang kafir.

 

Pandangan yang membenarkan dengan syarat

 

Para ulama yang cenderung kepada pendapat ini berdalilkan bahawa illah (sebab) pengharaman adalah kemungkinan berlakunya penghinaan orang kafir terhadap al-Quran. Justeru, apabila illah ini dapat dihilangkan maka kembalilah hukumnya sebagai harus. Ini merupakan pendapat minoriti ulama khususnya ulama kontemporari seperti Syeikh Muhammad al-Arifi, anggota Rabitah Alam al-Islami.[1] [2]

 

Manakala sebahagian ulama lain tidak menganggap naskhah yang mengandungi ayat-ayat al-Quran itu sebagai mushaf al-Quran, dengan syarat-syarat tertentu, justeru hukum larangan terbabit tidak terpakai ke atas kitab-kitab tafsir dan terjemahan. Hujah-hujah mereka adalah:

 

  1. Al-Quran terjemahan bukanlah mushaf kerana ia bercampur dengan makna-makna ayat

 

Ini sepertimana yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Majmu` [Lihat Al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 2/69]:

 

وَإِنْ كَانَ التَّفْسِيرُ أَكْثَرَ كَمَا هُوَ الْغَالِبُ فَفِيهِ أَوْجُهٌ أَصَحُّهَا لَا يَحْرُمُ لِأَنَّهُ لَيْسَ بِمُصْحَفٍ

Maksudnya: “Sekiranya tafsir itu lebih banyak daripada kebiasaannya, maka padanya ada beberapa pendapat dan yang paling sahih adalah tidak diharamkan (untuk menyentuh dan membawanya) kerana ia bukanlah mushaf.”

 

Perkara yang sama juga disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi di dalam Raudhah al-Tolibin wa `Umdah al-Muftiin (1/80) dan Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari di dalam kitabnya Asnaa al-Matolib fi Syarh Raudh al-Tolib (1/61).

 

Berdasarkan perkataan Imam al-Nawawi di atas, kita dapat memahami bahawa tafsir al-Quran atau terjemahan al-Quran bukan dinamakan sebagai mushaf dan hukum mushaf tidak terpakai padanya.

 

  1. Orang berhadas dibenarkan menyentuh al-Quran terjemahan atau tafsir al-Quran

 

Jumhur ulama` mengatakan dibolehkan bagi menyentuh, membawa dan mengulangkaji tafsir al-Quran yang mana padanya terdapat ayat-ayat al-Quran meskipun dalam keadaan berjunub. Ini kerana, yang dimaksudkan tafsir itu adalah makna-makna daripada al-Quran dan bukannya membacanya. Maka, hukum al-Quran tidak terpakai kepadanya.

 

Ini adalah pendapat yang zahir daripada mazhab Maliki dan juga Hanbali. Disebutkan di dalam Syarh Mukhtasar Khalil oleh al-Imam al-Kharasyi al-Maliki Rahimahullah:

 

يَجُوزُ لِلْمُحْدِثِ مَسُّ التَّفْسِيرِ

Maksudnya: “Dibolehkan bagi mereka yang berhadas untuk menyentuh tafsir.”

 

Begitu juga disebutkan oleh al-Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi di dalam kitabnya al-Mughni (1/109):

 

وَيَجُوزُ مَسُّ كُتُبِ التَّفْسِيرِ وَالْفِقْهِ وَغَيْرِهَا، وَالرَّسَائِلِ، وَإِنْ كَانَ فِيهَا آيَاتٌ مِنْ الْقُرْآنِ، بِدَلِيلِ أَنَّ النَّبِيَّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - كَتَبَ إلَى قَيْصَرَ كِتَابًا فِيهِ آيَةٌ؛ وَلِأَنَّهَا لَا يَقَعُ عَلَيْهَا اسْمُ مُصْحَفٍ، وَلَا تَثْبُتُ لَهَا حُرْمَتُهُ

Maksudnya: “Dan dibolehkan menyentuh kitab-kitab tafsir, fiqh, risalah-risalah yang lainnya sekiranya padanya terdapat ayat-ayat daripada al-Quran berdalilkan bahawasanya Nabi SAW pernah menulis surat kepada maharaja Rom dan pada surat tersebut terdapat ayat al-Quran kerana ia tidak dinamakan dengan mushaf dan tidak sabit keharaman padanya.”

 

Adapun di sisi mazhab Syafi’e, yang sahih di sisi mereka adalah haram menyentuh dan membawa tafsir sekiranya ayat al-Quran lebih banyak daripada tafsirnya. Sekiranya tafsirnya lebih banyak daripada ayat al-Quran, maka hukumnya adalah dibolehkan.

 

أَمَّا تَرْجَمَةُ مَعَانِي الْقُرْآنِ بِاللُّغَاتِ الأْعْجَمِيَّةِ فَلَيْسَتْ قُرْآنًا، بَل هِيَ نَوْعٌ مِنَ التَّفْسِيرِ عَلَى مَا صَرَّحَّ بِهِ الْمَالِكِيَّةُ، وَعَلَيْهِ فَلاَ بَأْسَ أَنْ يَمَسَّهَا الْمُحْدِثُ، عِنْدَ مَنْ لاَ يَمْنَعُ مَسَّ الْمُحْدِثِ لِكُتُبِ التَّفْسِيرِ

Maksudnya: “Adapun terjemahan makna al-Quran dengan bahasa-bahasa asing (selain daripada arab) adalah dinamakan satu jenis daripada tafsir sebagaimana yang disebutkan oleh ulama mazhab al-Maliki. Maka dengan itu, tidak mengapa orang yang berhadas menyentuhnya di sisi sesiapa yang tidak menghalang orang yang berhadas menyentuh kitab-kitab tafsir.” [Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/38]

 

Perkara ini jelas, jika seorang yang berhadas itu dibenarkan untuk menyentuh dan membawa tafsir al-Quran dengan syarat tafsirnya lebih banyak daripada ayat al-Quran, maka orang yang bukan Islam juga dibenarkan untuk menyentuh dan membawa tafsir al-Quran atau terjemahannya jika menepati syarat berikut.

 

  • Tuntutan untuk memperdengarkan al-Quran kepada bukan Islam agar hatinya tertarik kepada Islam

 

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

 

وَإِنْ أَحَدٌ مِّنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّىٰ يَسْمَعَ كَلَامَ اللَّـهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَّا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam).” [Surah al-Taubah : 6]

 

Berkata Imam al-Syafie ketika menafsirkan ayat ini adalah apabila datang orang bukan Islam yang inginkan Islam maka menjadi kewajipan ke atas imam (pemimpin) itu untuk memberi perlindungan kepadnya sehingga didengarkan kepadanya ayat-ayat Allah serta dibawanya kepada Islam dengan makna mengharapkan agar Allah SWT memasukkannya ke dalam Islam. [Rujuk Tafsir Imam al-Syafie, 903-904/2]

 

Kesimpulan

Berdasarkan kepada keterangan di atas, maka kami cenderung kepada pendapat kedua bahawa dibenarkan bagi seseorang Muslim untuk menghadiahkan naskhah al-Quran berserta terjemahan atau tafsirnya, kepada orang bukan Islam, dengan syarat bahawa dia mempercayai orang bukan Islam tersebut tidak akan menghina naskhah tersebut. Ini kerana hadis hanya melarang pemberian mushaf kepada musuh Islam kerana mereka akan menghina dan mencemar kesucian al-Quran. Adapun jika dipercayai mereka tidak akan menghinanya, maka mengikut sebahagian ulama maka hukumnya adalah dibolehkan kerana illah hukumnya telah yakni bahaya penghinaan itu telah hilang.

Manakala mengikut Jumhur, harus memberikan naskhah yang mengandungi ayat al-Quran dan lafaz-lafaz lain yang lebih banyak seperti tafsir dan lain-lain, sehingga naskhah tersebut tidak lagi dianggap mushaf al-Quran. Sekalipun begitu, memandangkan naskhah tersebut masih perlu dimuliakan kerana terkandung di dalamnya ilmu-ilmu syarak, maka tidak harus ia dihadiahkan kepada orang kafir yang ditakuti akan merosakkan dan menghinanya. Adapun orang bukan Islam yang dipercayai akan menghormati dan memeliharanya seperti pemimpin masyarakat, sekolah, perpustakaan, dan seumpamnya, maka diharuskan untuk dihadiahkan nashah al-Quran dan terjemahannya.

 

Wallahua’lam.

 

[1] http://www.alittihad.ae/details.php?id=141054&y=2007

[2] https://www.youtube.com/watch?v=KsahVW3L6dw