Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE- 233: MIMPI ORANG SOLEH SEBAGAI PERINGATAN DARI ALLAH?

Soalan

Adakah mimpi orang soleh merupakan salah satu peringatan dari Allah kepada dirinya dan orang sekelilingnya dan boleh dikategorikan sebagai firasat orang Mukmin?

Jawapan

Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Mimpi yang benar adalah satu perkara kemuliaan serta mempunyai kedudukan yang tinggi. Dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لَمْ يَبْقَ مِنْ مُبَشِّرَاتِ النُّبُوَّةِ إِلاَّ الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ يَرَاهَا الْمُسْلِمُ أَوْ تُرَى لَهُ

Maksudnya: “Tidak terdapat lagi berita-berita gembira tentang kenabian kecuali mimpi yang benar yang dialami oleh seorang muslim, atau diperlihatkan kepadanya (mimpi itu).”

Riwayat Muslim (1102)

Allah SWT berfirman:

لَهُمُ الْبُشْرَىٰ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

Maksudnya: “Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia..”

 (Surah Yunus: 64)

Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azhim (2/515) ketika menafsirkan ayat ini menyebut salah satu pendapat dengan menyertakan sebuah hadis daripada ‘Ubadah bin al-Samit R.A, beliau bertanya kepada Rasulullah SAW tentang ayat tersebut lalu Baginda SAW menjawab:

هِيَ الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ يَرَاهَا الْمُؤْمِنُ أَوْ تُرَى لَهُ

Maksudnya: “Ia adalah mimpi yang baik, yang orang Mukmin bermimpi dengannya atau diperlihatkan kepadanya.”

Jenis-Jenis Mimpi yang Dialami Seseorang

Terdapat beberapa jenis mimpi yang dialami oleh seseorang Muslim. Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis daripada ‘Auf bin Malik R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الرُّؤْيَا ثَلاَثٌ : مِنْهَا أَهَاوِيلُ مِنَ الشَّيْطَانِ لِيَحْزُنَ بِهَا ابْنَ آدَمَ ، وَمِنْهَا مَا يَهُمُّ بِهِ الرَّجُلُ فِي يَقَظَتِهِ ، فَيَرَاهُ فِي مَنَامِهِ ، وَمِنْهَا جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ

Maksudnya: “Mimpi itu ada  tiga jenis: Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk meresahkan anak Adam. Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan manusia ketika jaga lalu terbawa hingga ke dalam tidur. Mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.”

Riwayat Ibn Majah (3907)

Daripada hadis di atas dapat difahami bahawa mimpi yang datang kepada seseorang itu terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

  • Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk menimbulkan keresahan kepada seseorang.
  • Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan oleh seseorang ketika jaga. Apabila tidur lalu terbawa-bawa perkara tersebut dalam mimpinya.
  • Mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.

Jenis mimpi yang pertama dan kedua adalah dikira sebagai tidak memberi makna apa-apa. Manakala mimpi jenis yang ketiga inilah yang akan dibincangkan dengan lebih lanjut untuk menjawab persoalan di atas.

Mimpi Mukmin Sebagai Satu Bahagian Daripada Tanda Kenabian

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

إِذَا اقْتَرَبَ الزَّمَانُ لَمْ تَكَدْ تَكْذِبُ رُؤْيَا الْمُؤْمِنِ وَرُؤْيَا الْمُؤْمِنِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنْ النُّبُوَّةِ

Maksudnya: “Apabila telah menghampiri zaman, mimpi seseorang yang beriman itu hampir tidak dusta, dan mimpi orang yang beriman itu satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian…”

Riwayat al-Bukhari (7017)

Daripada Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW juga bersabda:

الرُّؤْيَا الْحَسَنَةُ مِنْ الرَّجُلِ الصَّالِحِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنْ النُّبُوَّةِ

Maksudnya: “Mimpi baik yang berasal dari seorang yang soleh adalah satu bahagian dari 46 juzuk kenabian.”

Riwayat al-Bukhari (6893)

Ibnu Battal berkata, mimpi ada dua jenis:

  • Pertama, Mimpi yang jelas-jelas menjadi nyata, seperti seseorang yang bermimpi memberi seseorang kurma, dan pada siang harinya ia memberi seseorang kurma. Mimpi seperti ini tidak memerlukan takwil.
  • Kedua, mimpi yang hadir dengan simbol-simbol. Untuk memahami mimpi seperti ini harus ada seseorang yang memiliki ilmu dan pengalaman mentakwil mimpi untuk memahaminya kerana kadang-kadang simbol-simbol itu sangat halus dan rumit. (Rujuk Fath al-Bari, 19/451)

  Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لَمْ يَبْقَ مِنْ مُبَشِّرَاتِ النُّبُوَّةِ إِلاَّ الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ يَرَاهَا الْمُسْلِمُ أَوْ تُرَى لَهُ

Maksudnya: “Tidak terdapat lagi berita-berita gembira tentang kenabian kecuali mimpi yang benar yang dialami oleh seorang muslim, atau diperlihatkan kepadanya (mimpi itu).”

Riwayat Muslim (1102)

Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (19/461) ketika mensyarahkan hadith ini menyertakan bersama sebuah hadith Abu Ya’la daripada Anas bin Malik R.A:

إِنَّ الرِّسَالَة وَالنُّبُوَّة قَدْ اِنْقَطَعَتْ وَلَا نَبِيّ وَلَا رَسُول بَعْدِي وَلَكِنْ بَقِيَتْ الْمُبَشِّرَات قَالُوا : وَمَا الْمُبَشِّرَات؟ قَالَ : رُؤْيَا الْمُسْلِمِينَ جُزْء مِنْ أَجْزَاء النُّبُوَّة

Maksudnya: “Sesungguhnya risalah dan kenabian itu telah terhenti. Tidak ada nabi lagi dan tidak ada rasul lagi selepas-ku, akan tetapi akan kekal al-Mubassyiraat. Para sahabat bertanya: Apakah al-Mubassyiraat itu?” Jawab Baginda: Mimpi orang muslim satu bahagian daripada bahagian-bahagian kenabian.”

Ibn al-Tiin berkata: “Maksud hadith ini ialah bahawasanya wahyu akan terhenti dengan kematian-ku (Nabi SAW). Dan tidak akan kekal apa yang diketahui daripadanya akan apa yang akan berlaku melainkan mimpi.” (Rujuk Fath al-Bari, 19/461)

 

Oleh itu, berdasarkan nas-nas yang telah dibentangkan, mimpi yang benar oleh orang soleh dengan menepati ciri-ciri yang telah ditetapkan boleh menjadi pembawa berita gembira atau satu bentuk peringatan. Hal ini sebagaimana yang telah disebut di atas.

Walaupun begitu, perlu juga untuk dijelaskan bahawa mimpi yang benar tidak datang kepada sembarangan orang. Ia hanya dikurniakan kepada mereka yang berpegang teguh dengan agama, warak dan bersih hatinya. Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

وَأَصْدَقُكُمْ رُؤْيَا أَصْدَقُكُمْ حَدِيثًا

Maksudnya: “Orang yang paling benar mimpinya adalah orang yang paling benar lidahnya.”

Riwayat Muslim (6042)

Di sini jelas menunjukkan bahawa mereka yang dengan ciri-ciri tertentu seperti soleh, teguh beragama dengan menjaga lidah hanya akan dikurniakan mimpi tersebut. Imam al-Qurtubi berkata:

الْمُسْلِم الصَّادِق الصَّالِح هُوَ الَّذِي يُنَاسِب حَالُهُ حَالَ الْأَنْبِيَاء فَأُكْرِمَ بِنَوْعٍ مِمَّا أُكْرِمَ بِهِ الْأَنْبِيَاء وَهُوَ الِاطِّلَاع عَلَى الْغَيْب

Maksudnya: “Orang Islam yang jujur dan soleh adalah menyerupai keadaan para nabi. Oleh sebab itu, mereka dianugerahkan sebahagian daripada apa yang diberikan kepada para nabi iaitu melihat alam ghaib.” (Rujuk Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, 19/451)

Begitu juga kita dikehendaki agar tidak secara suka-suka untuk mentafsirkan sama ada mimpi kita mahupun mimpi orang lain. Imam Malik pernah ditanya: “Bolehkah seseorang itu mentafsirkan mimpi secara sembarangan sahaja?” Beliau menjawab: “Adakah dia hendak bermain-main dengan kenabian? Mimpi itu satu bahagian daripada kenabian. Maka tidak boleh bermain-main dengan kenabian! ”

 

Kesimpulan

Berdasarkan nas di atas, kami berpendapat bagi seseorang yang bermimpi yang baik maka perkara yang pertama dia memohon kepada Allah dan jika sekiranya tidak baik maka hendaklah dia memohon perlindungan daripada Allah. Begitu juga mimpi yang membabitkan ummah sejagat seperti datangnya bala atau petaka, maka lebih baik ia sembunyikan dan berdoa memohon keampunan serta perlindungan kepada Allah. Dia mengajak manusia bertaubat kepada Allah dan memberi ilmu dan pengetahuan dalam pengajarannya kepada masyarakat. Inilah cara yang terbaik.

Kita amat khuatir apabila disalahtafsirkan dan disalah anggap oleh masyarakat sehingga menjadi fitnah. Begitu juga terkadang-kadang kefahaman membawa kepada mimpi sebagai tasyri’ Ilahi atau yang perlu dipatuhi selain daripada nas Syarak. Maka dalam hal ini telah dijawab oleh ulama Usul Fiqh bahawa mimpi bukan termasuk dalam sumber nas Syarak.

Akhir sekali, marilah kita sentiasa memohon perlindungan daripada Allah SWT agar dihindari daripada gangguan dan tipu daya syaitan.

Wallahua’lam.