Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE 455 : HUKUM SOLAT JAMAK BAGI PETUGAS COVID-19

IF 455

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Solat lima waktu sama Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak pada asalnya dilakukan pada waktunya. Ini berdasarkan firman Allah SWT :

إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَـٰبًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya : “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

(Surah Al-Nisa : 103)

Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut bahawa Allah SWT menjadikan waktu solat itu ada waktu yang khusus untuk ditunaikan. Ini bermakna bahawa hukum Allah ini adalah kefarduan yang mesti dilaksankan dalam tempoh yang tertentu dengan segera yang mungkin. Antara hikmahnya ialah jika tiada tempoh waktu yang khusus maka manusia pasti tidak akan melakukannya dan mencuaikannya. (Rujuk Tafsir Al-Maraghi, 5/143-144).

Di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Buraidah, ada seorang lelaki bertanya kepada Nabi SAW tentang waktu solat. Lalu Nabi SAW bersabda :

صَلِّ مَعَنَا هَذَيْنِ ، يَعْنِي الْيَوْمَيْنِ ، فَلَمَّا زَالَتِ الشَّمْسُ أَمَرَ بِلاَلاً فَأَذَّنَ ، ثُمَّ أَمَرَهُ ، فَأَقَامَ الظُّهْرَ ، ثُمَّ أَمَرَهُ ، فَأَقَامَ الْعَصْرَ وَالشَّمْسُ مُرْتَفِعَةٌ بَيْضَاءُ نَقِيَّةٌ ، ثُمَّ أَمَرَهُ فَأَقَامَ الْمَغْرِبَ حِينَ غَابَتِ الشَّمْسُ ، ثُمَّ أَمَرَهُ فَأَقَامَ الْعِشَاءَ حِينَ غَابَ الشَّفَقُ ، ثُمَّ أَمَرَهُ فَأَقَامَ الْفَجْرَ حِينَ طَلَعَ الْفَجْرَ ، فَلَمَّا أَنْ كَانَ الْيَوْمُ الثَّانِي أَمَرَهُ فَأَبْرَدَ بِالظُّهْرِ ، فَأَبْرَدَ بِهَا ، فَأَنْعَمَ أَنْ يُبْرِدَ بِهَا ، وَصَلَّى الْعَصْرَ وَالشَّمْسُ مُرْتَفِعَةٌ أَخَّرَهَا فَوْقَ الَّذِي كَانَ ، وَصَلَّى الْمَغْرِبَ قَبْلَ أَنْ يَغِيبَ الشَّفَقُ ، وَصَلَّى الْعِشَاءَ بَعْدَ مَا ذَهَبَ ثُلُثُ اللَّيْلِ ، وَصَلَّى الْفَجْرَ فَأَسْفَرَ بِهَا ، ثُمَّ قَالَ : أَيْنَ السَّائِلُ عَنْ وَقْتِ الصَّلاَةِ ؟ فَقَالَ الرَّجُلُ : أَنَا ، يَا رَسُولَ اللهِ ، قَالَ : وَقْتُ صَلاَتِكُمْ بَيْنَ مَا رَأَيْتُمْ

Maksudnya : “Solatlah bersama kami selama dua hari. Apabila matahari tergelincir Nabi SAW mengarahkan Bilal untuk azan kemudian mengarahkan Bilal untuk iqamah zohor. Kemudian Baginda mengarahkan pula Bilal untuk azan dan iqamah pada ketika matahari tinggi sehingga kelihatan putih. Kemudian Baginda mengarahkan Bilal untuk laungkan azan dan iqamah Maghrib ketika terbenam matahari. Kemudian Baginda memerintahkan Bilal untuk azan iqamah Isyak ketiga mega di langit hilang. Kemudian Baginda memerintahkan Bilal untuk azam dan iqamah Subuh ketika fajar matahari mula terbit. Pada hari kedua pula, Baginda perintahkan Bilal untuk azan dan iqamah lewat dari waktu zohor. Baginda solat asar dalam  keadaan matahari meninggi dan dilewatkan. Kemudian Baginda solat Maghrib sebelum hilangnya mega di langit. Kemudian Baginda solat Isyak selepas berlalunya satu pertiga malam dan Baginda solat subuh dalam keadaan langit sudah kekuningan. Kemudian Baginda bersabda : Di mana orang yang bertanya tentang waktu solat?. Seorang lelaki berkata : aku wahai Rasulullah. Baginda bersabda : Waktu solat kalian adalah di antara apa yang kalian lihat.”

Riwayat Muslim(1334)

Ini membawa maksud bahawa jika solat dilakukan bukan pada waktu yang telah ditetapkan maka solat tersebut walaupun ditunaikan dengan cukup rukun ianya tetap tidak sah. Ini kerana di antara syarat sah solat adalah mesti masuk waktu. Jika dilakukan sebelum masuk waktunya, maka solat fardu yang dilakukan tidak sah.

Di antara rukhsah yang Allah berikan kepada umat ini adalah dibenarkan untuk menjamakkan di antara dua solat dalam keadaan-keadaan yang tertentu seperti musafir, hujan,sakit dan sebagainya. Ini berdasarkan kenyataan Allah SWT di dalam Al-Quran. Firman Allah SWT :

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى ٱلدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya : “…Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”

(Surah Al-Hajj : 78)

Begitu juga firman Allah di dalam ayat yang lain :

يرِيدُ ٱللَّـهُ بِكُمُ ٱلْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلْعُسْرَ

Maksudnya : “…Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran…”

(Surah Al-Baqarah :183)

Kembali kepada isu utama, jamak bermaksud menggabung dua solat di dalam satu waktu. Iaitu menggabung solat zohor dengan solat solat asar dan solat maghrib dengan solat Isyak. Imam Al-Nawawi menyebut :

Mazhab kami (mazhab Al-Syafi’i mengharuskan jamak di antara solat Zohor dan Asar pada waktu yang dia suka dan juga solat Maghrib dengan Solat Isyak. Ini juga merupakan ijmak.” (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab , 4/249)

Pada asasnya , di dalam mazhab Al-Syafi’i, menjamakkan di antara dua solat diharuskan atas tiga sebab (Rujuk Minhaj Al-Tolibin Wa ‘Umdah Al-Muftin, 1/ 417-423). Iaitu :

  • Musafir
  • Hujan
  • Ketika Hari Arafah

Inilah pandangan yang muktamad di dalam mazhab Al-Syafi’i berkenaan sebab-sebab yang membolehkan untuk menjamakkan solat. Namun begitu, sebahagian daripada ulama bermazhab Al-Syafi’i dan sebahagian fuqaha mengharuskan untuk menjamakkan solat selain dari sebab-sebab yang disebutkan dengan sebab ada hajat dan keperluan.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas R.A, beliau berkata :

جَمَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ ، وَبَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالعِشَاءِ بِالمَدِينَةِ مِنْ غَيْرِ خَوْفٍ وَلاَ مَطَرٍ ، قَالَ : فَقِيلَ لاِبْنِ عَبَّاسٍ : مَا أَرَادَ بِذَلِكَ ؟ قَالَ : أَرَادَ أَنْ لاَ يُحْرِجَ أُمَّتَهُ

Maksudnya : “ Rasulullah SAW menjamakkan di antara solat Zohor dengan Asar dan di antara solat Maghrib dengan Isyak di Madinah tanpa ada kegawatan dan bukan kerana hujan. Lalu ditanya kepada Ibnu Abbas : Apa tujuan Nabi buat sedemikian rupa?. Ibnu Abbas berkata : Baginda tidak ingin menyusahkan umatnya.”

Riwayat Al-Tirmizi (187), Al-Nasai’i (1574)

Sheikh Abdurrahman Al-Mubarakfuri menyebut sesiapa yang ada keuzuran maka diharuskan untuk dia menjamakkan solat. Adapun bagi mereka yang ada keuzuran akan tetapi tidak mahu menjamakkan solat sehingga meninggalkan solat maka dia berdosa tanpa syak lagi. (Rujuk Tuhfah Al-Ahwazi Syarah Jami’ Al-Tirmizi, 2/205)

Maka dapat difahami daripada hadis tersebut bahawa jika ada sebab keuzuran, ada kegawatan dan terdapat urusan yang mendesak maka ianya lebih utama untuk dijamakkan solat.

Imam Al-Nawawi menukilkan pandangan sebahagian ulama bermazhab Al-Syafi’i seperti Al-Qadhi Husain , Abu Sulaiman Al-Khattabi, Al-Ruyani, Abu Qasim Al-Rafi’i dan lain-lain. Mereka menyatakan bahawa harus untuk menjamakkan solat kerana keadaan yang gawat ketakutan dan sakit. Boleh dilakukan sama ada secara taqdim dan ta’khir. Keluasan ini diberikan adalah kerana ingin memberikan keringanan kepada mereka-mereka yang terlibat atau ditimpa sebab-sebab tersebut. Bahkan keadaan seperti gawat dan takut adalah lebih utama daripada hujan. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/263)

Imam Abdullah Al-Kharasyi Al-Maliki menyebut bahawa sebab jamak bukan sahaja musafir akan tetapi apa sahaja yang mendatangkan kepayahan untuk berwuduk dan solat pada waktunya. Bahkan kepayahan yang dilalui oleh orang yang berada di dalam keadaan yang gawat lebih payah daripada kepayahan yang ada pada musafir dan juga hujan. (Rujuk Syarh Mukhtasar Khalil, 5/120).

Bagi mazhab Hanbali sebab keharusan untuk menjamakkan solat lebih luas lagi. Sheikh Dr Wahbah Al-Zuhaili menyenaraikan ada 8 sebab yang mengharuskan jamak di sisi mazhab Hanbali. Di antara sebab tersebut ialah keuzuran dan sesiapa yang terlibat dengan sesuatu perkara yang penting yang mana jika tidak dijamakkan solat akan menyebabkan kemudaratan. (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/510).

Ibnu Qudamah mengatakan :

Kami telah berijmak bahawa solat tidak boleh dijamakkan melainkan ada keuzuran” (Rujuk Al-Syarh Al-Kabir ‘Ala Al-Muqni’ , 2/116).

Beliau menyebutkan lagi bahawa harus untuk menjamakkan solat jika ada keperluan yang mendesak dan ianya perlulah tidak dianggap sebagai adat.Beliau bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas. (Rujuk Al-Mughni, 2/121).

Sheikh Abdurrahman Al-‘Asimi Al-Najdi menyebut, harus untuk menjamakkan solat kerana ada keuzuran dan keperluan disebabkan ada tugasan penting yang tidak boleh ditinggalkan dan jika ditinggalkan akan mendatangkan mudarat. (Hasyiah Al-Raudh Al-Murbi’ , 2/401).

Apatahlagi jika tugasan tersebut melibatkan nyawa dan tidak boleh sewenang-wenangnya ditinggalkan seperti petugas COVID-19. Maka lebih utama baginya untuk menjamakkan solat daripada dia meninggalkan solat dengan sengaja.

Di dalam sebuah hadis yang lain, Nabi SAW bersabda :

مَنْ جَمَعَ بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ مِنْ غَيْرِ عُذْرٍ فَقَدْ أَتَى بَابًا مِنْ أَبْوَابِ الْكَبَائِ

Maksudnya : “ Sesiapa yang menjamakkan dua solat tanpa ada keuzuran, sesungguhnya dia telah mendatangi salah satu dari pintu dosa besar.”

Riwayat Al-Tirmizi (188).

Imam Al-Tirmizi mengatakan bahawa hadis ini lemah di sisi ahli hadith akan tetapi ianya diamalkan oleh fuqaha. Maka, berdasarkan hadis ini, tidak salah menjamakkan antara dua solat jika ada keperluan dan keuzuran. Justeru itu, kami melihat akan keharusan untuk menjamakkan solat bagi petugas COVID-19 kerana tugasan tersebut adalah tugasan yang getir, yang tidak boleh ditinggalkan dan boleh membawa mudarat jika tidak dilaksanakan dengan sebaiknya. Ini dianggap sebagai satu keuzuran untuk membenarkan mereka menjamakkan solat.

Perkara ini juga bertepatan dengan kaedah :

المشَقَّة تَجْلِبُ التَّيْسِيَر

Maksudnya : “ Kepayahan dan kesukaran mendatangkan kemudahan.”

Kesimpulannya, diharuskan jamak untuk mereka yang terlibat sebagai frontliner atau petugas bagi menangani wabak COVID-19 khususnya di tempat awam seperti hospital dan lain-lain. Mengambil kira pandangan sebahagian fuqaha mazhab Al-Syafi’i dan juga pandangan fuqaha mazhab Hanbali yang menyebut akan keharusan jamak disebabkan ada keuzuran atau tugas yang penting.

Namun begitu ada beberapa garis panduan berkaitan solat jamak yang perlu diikuti oleh para petugas COVID-19:

  • Hendaklah waktu syif tersebut meliputi sekurang-kurangnya dua waktu solat yang jika tidak ada keharusan jamak akan menyebabkan terlepas salah satu waktu ;
  • Tiada pilihan waktu syif lain ;
  • Tidak dibenarkan untuk membuka pakaian PPE ketika waktu syif
  • Melakukan jamak taqdim jika waktu syif berpanjangan sehingga terkeluar kepada waktu solat kedua ;
  • Melakukan jamak ta’khir jika waktu syif bermula sebelum waktu solat pertama dan berakhir sehingga masuk waktu solat kedua;
  • Hanya dibenarkan melakukan jamak tamam iaitu melakukannya secara sempurna tanpa perlu qasar. Ini kerana qasar iaitu memendekkan solat empat rakaat kepada dua rakaat hanya dilakukan ketika musafir.

Semoga Allah memelihara kita daripada wabak yang sedang melanda kita dan  perbanyakkan doa agar Allah segera menghilangkan wabak ini.Semoga Allah memberikan ganjaran dan pahala kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam tugasan menangani wabak COVID-19 ini.  Wallahu’alam