Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-491 : HUKUM SEORANG PEREMPUAN BERMESYUARAT ATAS TALIAN YANG MELIBATKAN RAMAI LELAKI

IF 491 meeting online

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Apakah hukumnya seorang perempuan itu meeting online yang melibatkan dengan ramai lelaki? Contohnya, seorang perempuan tetapi tiga orang lelaki.  Harap dapat pencerahan mengenai perkara ini.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW :

لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ

Maksudnya : “Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya.” Riwayat Muslim (1341)

Hadis ini secara jelas menunjukkan bahawa perbuatan berkhalwat antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah sesuatu yang dilarang di dalam agama. Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis di atas menyebutkan :

لَا يَقْعُدَنَّ رَجُلٌ مَعَ امْرَأَةٍ إِلَّا وَمَعَهَا مَحْرَمٌ... وَأَمَّا إِذَا خَلَا الْأَجْنَبِيُّ بِالْأَجْنَبِيَّةِ مِنْ غَيْرِ ثَالِثٍ مَعَهُمَا فَهُوَ حَرَامٌ بِاتِّفَاقِ الْعُلَمَاءِ وَكَذَا لَوْ كَانَ مَعَهُمَا مَنْ لَا يُسْتَحَى مِنْهُ لِصِغَرِهِ كَابْنِ سَنَتَيْنِ وَثَلَاثٍ وَنَحْوِ ذَلِكَ فَإِنَّ وُجُودَهُ كَالْعَدَمِ

Maksudnya : “Janganlah seorang lelaki itu duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengannya mahramnya… Dan sekiranya seorang lelaki ajnabi itu berkhalwat bersama-sama dengan wanita ajnabiyyah tanpa ada orang yang ketiga maka perbuatan itu adalah haram secara sepakat para ulama. Demikianlah juga (hukumnya) jika bersama-sama perempuan tersebut seseorang yang mereka tidak berasa malu dengannya disebabkan kecilnya dia seperti seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun atau tiga tahun atau seumpamanya, kerana wujudnya anak tersebut sama seperti tiada.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, Cet. Dar al-Siddiq, 4/243-244)

Antara hikmah larangan seorang lelaki berdua-duaan bersama seorang perempuan yang bukan mahramnya ialah kerana perkara tersebut boleh menimbulkan fitnah, tohmahan dan syak wasangka orang lain serta berkemungkinan memberi mudarat yang lebih besar seperti terjerumus ke dalam maksiat, perzinaan dan runtuhnya institusi kekeluargaan. Hal ini kerana perbuatan khalwat (berdua-duan) itu sendiri merupakan suatu ruang yang besar untuk dimasuki oleh syaitan dalam usaha merosakkan anak Adam serta menimbulkan fitnah yang besar pada diri mereka. Hal ini bertepatan sebagaimana sabda Nabi SAW :

أَلاَ لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ

Maksudnya : “Ketahuilah bahawa tidaklah seorang lelaki dan seorang perempuan itu berdua-duaan melainkan yang ketiganya adalah syaitan.” Riwayat al-Tirmizi (2165)

Syeikh al-Mubarakfuri menyatakan di dalam kitabnya bahawa syaitan ada bersama keduanya (lelaki dan perempuan yang berdua-duaan itu) serta membisikkan syahwat kepada mereka sehinggalah ia mencampakkan mereka berdua ke lembah penzinaan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 6/320)

Selamat daripada sebarang tohmahan, fitnah dan syak wasangka

Para ulama telah meletakkan garis panduan (parameter) dalam menentukan khalwat yang dilarang oleh agama. Syeikh al-Syibramalisi dan Syeikh Abdul Hamid al-Syarwani menyebutkan bahawa :

أَنَّ الْمَدَارَ فِي الْخَلْوَةِ عَلَى اجْتِمَاعٍ لَا تُؤْمَنُ مَعَهُ الرِّيبَةُ عَادَةً، بِخِلَافِ مَا لَوْ قُطِعَ بِانْتِفَائِهَا فِي الْعَادَةِ فَلَا يُعَدُّ خَلْوَةً

Maksudnya : “Sesungguhnya garis penentuan khalwat (yang dilarang) ialah ke atas perhimpunan (antara laki-laki dan perempuan yang bukan mahram) yang tidak selamat daripada sebarang tohmah (fitnah dan syak wasangka) pada adat kebiasaannya, berbeza pula apabila dapat dipastikan perhimpunan (pertemuan) tersebut selamat daripada sebarang tohmah pada adat kebiasaannya, maka ia tidak termasuk dalam khalwat (yang dilarang).” (Lihat Hasyiah Nihayah al-Muhtaj, 7/163 dan Hasyiah Tuhfah al-Muhtaj, 8/269)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah juga ada menyatakan bahawa perbuatan khalwat (berdua-duaan) seorang lelaki dengan perempuan ajnabiyyah haram hukumnya kerana ia biasanya akan membawa kepada timbulnya fitnah. Dan hukum asal setiap sesuatu yang menjadi sebab kepada timbulnya fitnah adalah tidak harus (tidak boleh dilakukan) kerana ia adalah jalan yang membawa kepada kerosakan. Oleh itu, wajib menutupnya sekiranya tiada apa-apa keperluan yang kuat (untuk melakukannya). (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 21/251)

Perkara ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Imam Ibn Hajar al-Haitami yang menyebutkan beberapa contoh atau keadaan yang tidak dianggap sebagai khalwat yang dilarang. Antaranya ialah sekiranya seorang perempuan masuk ke dalam masjid yang mana di dalamnya ada seorang lelaki, maka ia tidak termasuk dalam kategori khalwat kerana masjid merupakan tempat yang sentiasa dimasuki oleh setiap orang. Dan sesungguhnya perkara ini hanya dibenarkan pada masjid yang menjadi laluan orang ramai (keluar masuk masjid) serta tidak terputus orang yang keluar masuk pada adat kebiasaannya. Demikianlah juga (hukumnya), apa yang menyerupainya seperti jalan atau selainnya (tempat-tempat awam yang lain) yang menjadi laluan orang ramai, berbeza dengan tempat-tempat yang tidak menjadi laluan orang ramai (terpencil dan sunyi). (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 8/269-270)

Oleh itu, jelaslah bahawa tempat yang menjadi laluan orang ramai kebiasaannya selamat dan jauh daripada fitnah serta tidak menimbulkan curiga. Berbeza dengan tempat yang terpencil, sunyi dan jauh daripada orang ramai kerana ia boleh menimbulkan fitnah, tohmahan, syak wasangka dan lain-lain yang seumpamanya.

Perhimpunan antara seorang perempuan dengan ramai lelaki

Mengenai perkara ini, Imam al-Nawawi ada menyatakan bahawa :

وَكَذَا لَوِ اجْتَمَعَ رِجَالٌ بِامْرَأَةٍ أَجْنَبِيَّةٍ فَهُوَ حَرَامٌ بِخِلَافِ مَا لَوِ اجْتَمَعَ رَجُلٌ بِنِسْوَةٍ أَجَانِبَ فَإِنَّ الصَّحِيحَ جَوَازُهُ

Maksudnya : “Dan begitu juga, sekiranya ramai lelaki berhimpun dengan seorang perempuan ajnabiyyah, hukumnya adalah haram berbeza sekiranya seorang lelaki berhimpun dengan ramai perempuan ajnabiyyah kerana menurut pendapat yang sahih hukumnya adalah harus.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, Cet. Dar al-Siddiq, 4/244)

Ibnu Hajar al-Haitami juga ada menyebutkan bahawa di sana ada kelonggaran yang diberikan iaitu boleh bersendiri bagi seorang lelaki yang thiqah (dipercayai) bersama dua orang perempuan (atau lebih) yang thiqah yang mana perempuan berkenaan dihormati oleh lelaki tersebut dan bukan sebaliknya. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 4/107)

Sekiranya diteliti, perkara ini sangat berkait rapat dengan garis panduan yang telah diletakkan oleh para ulama sebagaimana yang telah disebutkan di atas iaitu mesti selamat daripada timbulnya fitnah (tohmahan, syak wasangka dan lain-lain yang seumpamanya). Begitu jugalah, sekiranya sebaliknya iaitu perhimpunan yang melibatkan seorang perempuan dengan ramai lelaki. Sekiranya, pertemuan tersebut ada keperluan dan semua mereka adalah thiqah (dipercayai) serta selamat daripada sebarang fitnah (tohmahan, syak wasangka dan lain-lain yang seumpamanya), maka ia diharuskan.

Perkara ini dikuatkan lagi dengan riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr RA bahawa beberapa orang daripada Bani Hashim telah bertandang ke rumah Asma’ binti ‘Umais (isteri Abu Bakar al-Siddiq). Ketika itu, Abu Bakar al-Siddiq RA tiada di rumah. Apabila Abu Bakar pulang dan memasuki rumahnya, beliau melihat mereka berada di dalam rumahnya. Abu Bakar tidak selesa dengan perkara tersebut lalu mengadu kepada Nabi SAW. Jawab baginda SAW : Aku tidak melihat (kedatangan mereka itu) melainkan adanya kebaikkan. Sesungguhnya Allah SWT telah menyucikan Asma' binti 'Umais daripada perkara itu (yang tidak baik).” Kemudian Rasulullah SAW telah naik ke atas minbar dan bersabda :

لا يَدْخُلَنَّ رَجُلٌ، بَعْدَ يَومِي هذا، على مُغِيبَةٍ، إلّا وَمعهُ رَجُلٌ أَوِ اثْنانِ

Maksudnya : “Selepas hari ini, tidak boleh seorang lelaki memasuki rumah seorang wanita yang suaminya sedang tiada di rumah, melainkan bersamanya seorang lelaki yang lain ataupun dua orang.” Riwayat Muslim 2173

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa zahir hadis ini menunjukkan keharusan dua orang lelaki atau tiga orang (atau lebih) bersama dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya. Walau bagaimanapun, pendapat yang masyhur menurut mazhab Syafie ialah ia tetap haram. Oleh itu, hadis ini telah ditakwilkan bahawa perkara tersebut diharuskan kepada orang-orang yang jauh sekali kemungkinannya pertemuan itu menjerumuskan mereka ke dalam perbuatan keji kerana kesolehan, atau kewibawaan mereka, atau seumpamanya. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, Cet. Dar al-Siddiq, 6/274)

Sekalipun begitu, kami ingin tegaskan bahawa ia tetap berkait rapat dan kembali semula kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh para ulama iaitu mesti selamat daripada timbulnya fitnah (tohmahan, syak wasangka dan lain-lain yang seumpamanya). Abu al-‘Abbas al-Qurtubi menjelaskan bahawa Nabi SAW tidak membenarkan mana-mana lelaki memasuki rumah seorang perempuan yang mana suaminya sedang tiada melainkan bersamanya seorang atau dua orang lelaki lain kerana ia adalah sebagai Sadd al-Zari’ah iaitu menutup segala pintu yang boleh membawa kepada perbuatan khalwat yang diharamkan dan menolak segala perkara yang boleh membawa kepada tohmahan. Nabi SAW telah bataskan (hadkan) hanya dengan menyebut seorang lelaki atau dua orang lelaki disebabkan oleh kesolehan masyarakat (pada waktu itu) yang mana tohmah (buruk sangka) terangkat dengan bilangan tersebut. Adapun pada hari ini, bilangan tersebut tidak mencukupi (untuk mengangkat tohmahan), bahkan mesti dengan bilangan yang lebih ramai disebabkan oleh kerosakan yang telah berleluasa (dalam masyarakat) dan keinginan yang jahat. (Lihat al-Mufhim limaa Asykala min Talkhis Kitab Muslim, 5/503)

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, kami melihat berkomunikasi secara atas talian atau video call dengan menggunakan mana-mana aplikasi, pada dasarnya sama sepertimana berkomunikasi atau berinteraksi secara langsung. Sekalipun, secara zahirnya semua hadis mengenai larangan berkhalwat itu menunjukkan kepada khalwat (berdua-duaan) secara jasad (yakni hakiki) dan bukannya melalui medium moden (perantaraan) seperti video call dan lain-lain. Akan tetapi, perkara tersebut tidak dapat dinafikan ia juga boleh membuka ruang kepada timbulnya fitnah, sekiranya dilakukan tanpa sebarang keperluan dan tidak memenuhi garis panduan yang telah digariskan oleh para ulama.

Oleh itu, kami cenderung kepada pendapat bahawa diharuskan mesyuarat atas talian (meeting online) yang melibatkan seorang wanita dengan ramai lelaki selagimana ada keperluan serta perkara tersebut tidak menimbulkan fitnah, tohmahan buruk, syak wasangka dan lain-lain yang seumpamanya.

Hal ini kerana kebiasaanya (menurut waqi’ Malaysia) bilangan yang ramai sama ada daripada pihak lelaki mahupun perempuan sudah cukup bagi menolak sebarang tohmahan yang tidak baik. Lebih-lebih lagi, mesyuarat atau meeting online ini adalah merupakan satu keperluan bagi mereka yang bekerjaya untuk berbincang dan seterusnya melancarkan lagi perjalanan gerak kerja mereka.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa kami cenderung kepada pendapat diharuskan mesyuarat atas talian (meeting online) yang melibatkan seorang wanita dengan ramai lelaki selagimana ada keperluan serta perkara tersebut tidak menimbulkan fitnah, tohmahan buruk, syak wasangka dan lain-lain yang seumpamanya.

Kami juga ingin berpesan kepada laki-laki dan perempuan agar jagalah diri sebaik mungkin serta tundukan pandangan daripada melihat perkara yang tidak sepatutnya. Moga-moga Allah memelihara kita semua daripada terjerumus ke dalam perkara yang dimurkai-Nya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.