Soalan:
Benarkah dalam mazhab Syafi’i terdapat larangan untuk berzikir selepas solat dengan kuat. Saya ada mendengar sebahagian ustaz yang melarangnya dengan alasan ia adalah bidaah kerana Nabi SAW tidak pernah melakukannya.
Jawapan Ringkas:
Secara umumnya berzikir dengan kuat itu adalah diharuskan. Di sisi mazhab Syafi’i disunatkan untuk berzikir setelah menunaikan solat fardu secara perlahan melainkan jika bertujuan untuk mengajar makmum. Menurut Imam al-Mutawalli pandangan tersebut hanya berlaku di masjid yang dihadiri oleh jemaah yang sama setiap masa. Realitinya masjid di Malaysia sentiasa dihadiri oleh orang yang berbeza sehingga uruf di Malaysia kebanyakan masjid akan melakukan zikir secara kuat bagi mengajar setiap orang yang datang ke masjid tersebut.
Walau bagaimanapun kami menasihatkan orang ramai terutamanya para imam agar tidak berwirid setelah solat dengan suara yang sangat kuat sehingga boleh mengganggu orang yang sedang solat. Selain itu, tidak sepatutnya perkara ini dijadikan sebab pertelingkahan kerana dalam sebuah kaedah fiqh: Tiada pengingkaran dalam perkara yang diperselisihkan oleh ulama (khilaf).
Huraian Jawapan:
Para ulama bersepakat bahawa hukum berzikir selepas solat adalah sunat namun mereka berbeza pandangan mengenai hukum menguatkan suara ketika berzikir. Terdapat banyak hadis sahih yang menceritakan berkenaan zikir yang diamalkan oleh Nabi SAW selepas solat. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA:
أَنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ بِالذِّكْرِ حِينَ يَنْصَرِفُ النَّاسُ مِنْ الْمَكْتُوبَةِ كَانَ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ
Maksudnya: “Meninggikan suara ketika berzikir setelah orang ramai selesai dari sembahyang fardu telah berlaku pada zaman Rasulullah SAW.”
(Riwayat al-Bukhari)
Imam al-Nawawi ketika menerangkan hadis di atas berkata:
وَحَمَلَ الشَّافِعِيُّ رَحِمَهُ اللَّهُ تَعَالَى هَذَا الْحَدِيثَ عَلَى أَنَّهُ جَهَرَ وَقْتًا يَسِيرًا حَتَّى يُعْلِمَهُمْ صِفَةَ الذِّكْرِ لَا أَنَّهُمْ جَهَرُوا دَائِمًا
Maksudnya: “Imam al-Syafi’i memahami hadis ini dengan makna mereka menguatkan suara dalam tempoh yang singkat untuk mengajarkan para sahabat cara berzikir, ini tidak bererti mereka membiasakan menguatkan suara, dan pendapat yang dipilih adalah bahawa imam dan makmum merendahkan suara dalam zikir, kecuali karena tujuan untuk mengajar[1]”
Secara umumnya hukum berzikir secara kuat (jahar) adalah diharuskan. Imam al-Suyuti menghimpunkan sebanyak 25 dalil yang menunjukkan keharusan berzikir dengan kuat antaranya yang diriwayatkan dalam sebuah hadis qudsi:
يَقُولُ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ: أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي، وَأَنَا مَعَهُ حِينَ يَذْكُرُنِي، إِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي، وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلَأٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلَأٍ هُمْ خَيْرٌ مِنْهُمْ، وَإِنْ تَقَرَّبَ مِنِّي شِبْرًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا، وَإِنْ تَقَرَّبَ إلى ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ مِنْهُ بَاعًا، وَإِنْ أَتَانِي يَمْشِي أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً
Maksudnya: “Allah SWT berfirman “Aku menurut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku, Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku. Kalau dia mengingati-Ku dalam dirinya (secara perlahan) maka Aku juga akan mengigatnya dalam diri-Ku. Apabila dia mengigatiku-Ku dalam sebuah perkumpulan, maka Aku juga akan mengingatinya dalam perkumpulan yang lebih baik daripada perkumpulannya. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal, maka Aku akan mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta, maka Aku akan mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku akan datang kepadanya dengan berlari anak.”
(Riwayat al-Bukhari)
Imam al-Suyuti ketika menjelaskan hadis ini berkata bahawa zikir dalam perkumpulan tidak berlaku melainkan secara kuat (jahar)[2]. Kemudian Imam al-Suyuti menyimpulkan bahawa:
إذا تأملت ما أوردنا من الأحاديث عرفت من مجموعها أنه لا كراهة البتة في الجهر بالذكر، بل فيه ما يدل على استحبابه؛ إما صريحًا أو التزامًا كما أشرنا إليه،
Maksudnya: “Jika kamu perhatikan hadis-hadis yang telah kami sebutkan ini, kamu akan mengetahui dari kesemuanya bahawa tidak ada sama sekali hukum makruh untuk berzikir dengan suara yang kuat, malah terdapat dalil yang menunjukkan keharusannya sama ada secara jelas atau secara isyarat sebagaimana yang telah kami nyatakan[3],”
Di sisi mazhab Syafi’i sunat berzikir selepas menunaikan solat fardu dengan suara perlahan (sirr). Namun jika tujuannya untuk mengajar makmum maka dibolehkan untuk menguatkan sedikit suara (jahr) selagi tidak mengganggu jemaah lain. Syeikh Khatib al-Syirbini berkata:
وَيُسَنُّ الْإِسْرَارُ بِالذِّكْرِ وَالدُّعَاءِ إلَّا أَنْ يَكُونَ إمَامًا يُرِيدُ تَعْلِيمَ الْمَأْمُومِينَ فَيَجْهَرَ بِهِمَا فَإِذَا تَعْلَمُوا أَسَرَّ.
Maksudnya: “Disunatkan berzikir dan berdoa secara perlahan kecuali bagi imam yang hendak mengajar orang ramai, maka dia boleh membacanya dengan kuat dan apabila mereka semua telah mengetahui hendaklah dia kembali membacanya secara perlahan[4].”
Dalam kitab Fath al-Mu’in disebutkan bahawa jika menguatkan suara itu boleh mengganggu orang yang sedang solat maka hukumnya haram. Syeikh al-Malibari berkata:
أما المبالغة في الجهر بهما في المسجد بحيث يحصل تشويش على مصل فينبغي حرمتها.
Maksudnya: “Berlebih-lebihan dalam berzikir dan berdoa dengan kuat di dalam masjid sehingga mengganggu orang yang sedang solat, maka hendaklah diharamkan[5].”
Walaupun demikian, Imam al-Mutawalli, salah seorang ulama dalam mazhab Syafi'i, berpendapat bahawa zikir secara nyaring disyariatkan di masjid-masjid yang sering dikunjungi oleh orang yang berbeza setiap waktu. Beliau memahami bahawa pandangan Imam al-Syafi'i tersebut hanya berlaku di masjid yang dihadiri oleh jemaah yang sama setiap masa. Bagi masjid yang terletak di tepi jalan, disyorkan untuk selalu mengamalkan zikir secara nyaring bagi mengajar setiap orang yang datang ke masjid tersebut[6].
Kesimpulan
Secara umumnya berzikir dengan kuat itu adalah diharuskan. Di sisi mazhab Syafi’i disunatkan untuk berzikir setelah menunaikan solat fardu secara perlahan melainkan jika bertujuan untuk mengajar makmum. Menurut Imam al-Mutawalli pandangan tersebut hanya berlaku di masjid yang dihadiri oleh jemaah yang sama setiap masa. Realitinya masjid di Malaysia sentiasa dihadiri oleh orang yang berbeza sehingga uruf di Malaysia kebanyakan masjid akan melakukan zikir secara kuat bagi mengajar setiap orang yang datang ke masjid tersebut.
Walau bagaimanapun kami menasihatkan orang ramai terutamanya para imam agar tidak berwirid setelah solat dengan suara yang sangat kuat sehingga boleh mengganggu orang yang sedang solat. Selain itu, tidak sepatutnya perkara ini dijadikan sebab pertelingkahan kerana dalam sebuah kaedah fiqh: Tiada pengingkaran dalam perkara yang diperselisihkan oleh ulama (khilaf).
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj (Beirut, Dar Ihya’ al-Thurast al-Arabiy, 1392H) 4:84.
[2] Jalaludin sl-Suyuti, al-Hawi li al-Fatawi (Beirut, Dar al-Fikr, 2004) 1:470.
[3] Ibid.
[4] Al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Makrifah Maani Alfa zal-Minhaj (Beirut, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994) 1:393.
[5] Zainuddin Ahmad bin Abdul Aziz al-Malibari, Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-Ain bi Muhimmat al-Din (Beirut: Dar Ibn Hazm, t.t) 128.
[6] Ibn Hajar al-Haitami, al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1997) 1:227.
وَفِي كَلَامِ الْمُتَوَلِّي وَغَيْرِهِ مَا يَقْتَضِي اسْتِحْبَابَ رَفْعِ الْجَمَاعَةِ الصَّوْتَ بِالذِّكْرِ، دَائِمًا وَهُوَ ظَاهِرُ الْأَحَادِيثِ؛ أَيْ لِخَبَرِ الصَّحِيحَيْنِ: وَإِنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ بِالذِّكْرِ - أَيْ حِينَ يَنْصَرِفُ النَّاسُ مِنْ الْمَكْتُوبَةِ - كَانَ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -.
قَالَ: وَفِي النَّفْسِ مِنْ حَمْلِهَا عَلَى مَا ذَكَرَهُ - رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ - شَيْءٌ، وَإِنَّمَا ذَلِكَ فِي مَحْصُورِينَ.
وَأَمَّا الْمَسْجِدُ الَّذِي عَلَى الشَّارِعِ مَثَلًا فَلَا؛ لِأَنَّهُ يَطْرُقُهُ مَنْ لَمْ يَدْخُلْهُ قَبْلُ، فَهُوَ كَمَسْجِدِهِ الشَّرِيفِ كَانَتْ تَرِدُهُ الْأَعْرَابُ وَأَهْلُ الْبَوَادِي، فَفِيهِ يَظْهَرُ نَدْبُ إدَامَةِ الرَّفْعِ؛ لِيَتَعَلَّمَ كُلَّ مَرَّةٍ مَنْ لَمْ يَتَعَلَّمْ فِيمَا قَبْلَهَا اهـ وَلَا شَيْءَ فِيهِ،