Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-876: HUKUM MENGUBAH SUAI METER ELEKTRIK

HUKUM_MENGUBAH_SUAI_METER_ELEKTRIK.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum wbt SS Datuk. Saya nak bertanya beberapa soalan berkenaan elektrik. Bolehkah kita membuat sesuatu untuk mengurangkan bil elektrik? Contoh memasang magnet di meter/mengubahsuai meter?

Ringkasan Jawapan:

Hukum memasang magnet atau mengubah suai meter elektrik bagi menjimatkan bil elektrik adalah haram perbuatan sedemikian dilihat sebagai salah satu helah untuk menipu dan mengambil sesuatu tanpa memohon keizinan daripada pemilik asal. Tambahan pula, ia juga merupakan salah satu bentuk perbuatan mendapatkan harta secara batil.

 

Huraian Jawapan:

Bekalan elektrik merupakan salah satu sumber tenaga yang amat penting dalam kehidupan. Dalam konteks teknologi semasa ketika ini, kebanyakan alatan, peranti bahkan kenderaan memerlukan kepada tenaga elektrik untuk berfungsi dengan sebaiknya. Lantaran itu, ketiadaan bekalan elektrik sama ada dalam tempoh yang singkat mahupun panjang boleh mengakibatkan kesukaran dan menjejaskan pelbagai perkara. Dengan perkataan yang lain, bekalan elektrik boleh dikategorikan sebagai salah satu keperluan utama yang boleh mempermudah pelbagai urusan manusia pada masa kini.

Dalam pada itu, kenaikan tarif elektrik semasa turut menimbulkan kesukaran kepada sesetengah pihak. Lebih-lebih lagi bagi golongan yang berpendapatan rendah dan terikat dengan pelbagai komitmen bayaran secara bulanan. Rentetan senario itu, sesetengah pihak telah berikhtiar untuk mengurangkan bil elektrik bulanan menerusi pengubah suaian terhadap meter elektrik di rumah masing-masing.

Bagi situasi di Malaysia, pihak kerajaan merupakan pemilik kepada sumber tenaga elektrik dalam negara dan mengamanahkan kepada agensi-agensi seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menguruskan agihan bekalan tersebut kepada masyarakat berdasarkan akta-akta yang khusus. Oleh itu, bekalan elektrik yang diperoleh menerusi bayaran bil merupakan salah satu daripada harta individu.

Manakala perbuatan mengubah suai meter elektrik pula adalah bertentangan dengan syariat Islam. Hal ini demikian kerana ia bertujuan memperoleh sesebuah harta dengan cara yang salah iaitu tanpa keizinan daripada pemilik harta berkenaan malah mencabuli undang-undang setempat. Secara umumnya, terdapat larangan dalam al-Quran ke atas orang beriman daripada memakan atau mengambil harta orang lain secara batil. Allah SWT berfirman:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

                   (Surah al-Baqarah :188)

Menurut al-Tabari ayat di atas bermaksud larangan daripada memakan atau mengambil harta orang lain secara batil iaitu bukan menggunakan cara yang diharuskan oleh Allah SWT[1]. Sementara al-Maraghi dalam salah satu tafsiran terhadap kalimah batil pada ayat tersebut menyatakan bahawa ia termasuklah juga tidak mendapat keredaan atau keizinan daripada pihak pemilik asal harta berkenaan. Beliau kemudiannya menghuraikan secara terperinci bentuk-bentuk pengambilan harta dengan cara yang batil. Antaranya termasuklah menggunakan pelbagai taktik penipuan dan helah untuk memperdaya penjual mahupun pelanggan[2].

Di samping itu, terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن غشَّنا فليس منَّا والمكرُ والخداعُ في النَّارِ

Maksudnya: ‘Sesiapa yang melakukan penipuan maka dia bukanlah termasuk dalam kalangan kami. Balasan yang menimpa ke atas golongan yang melakukan tipu daya dan muslihat adalah ditempatkan dalam neraka.”

(Riwayat Ibn Hibban)

Sehubungan dengan itu, pihak kami berpandangan bahawa hukum memasang magnet atau mengubah suai meter elektrik bagi menjimatkan bil elektrik adalah haram kerana perbuatan sedemikian dilihat sebagai salah satu helah untuk menipu dan mengambil sesuatu tanpa memohon keizinan daripada pemilik asal. Tambahan pula, ia juga merupakan salah satu bentuk perbuatan mendapatkan harta secara batil.

Pada masa yang sama, pihak kami menasihatkan kepada seluruh masyarakat supaya mengambil langkah-langkah penjimatan elektrik seperti menetapkan had penggunaan alatan elektrik di rumah, sentiasa menutup suis apabila tidak menggunakan, mengurangkan kadar penggunaan alatan yang memerlukan jumlah kuasa elektrik yang tinggi dan lain-lain bagi mengurangkan bil elektrik secara bulanan.

Wallahua’lam.

 

Rujukan: 

[1] Abu Ja’afar Muhammad bin Jarir al-Tabari, Jami’ al-Bayan ‘an Takwil Ay al-Quran (Mekah:Dar al-Tarbiyyah wa al-Turath,t.t.), 3:548-549.

قال أبو جعفر: يعني تعالى ذكره بذلك: ولا يأكل بعضُكم مالَ بعض بالباطل. فجعل تعالى ذكره بذلك آكلَ مال أخيه بالباطل، كالآكل مالَ نَفسه بالباطل

أكله من غير الوجه الذي أباحه الله لآكليه

[2] Ahmad bin Mustafa al-Maraghi, Tafsir al-Maraghi (Mesir:Matba’ah Halabi,1946), 2:81-82.

وأكله بالباطل أخذه بدون مقابلة شىء حقيقى، والشريعة حرمت أخذ المال بدون مقابلة يعتدّ بها، وبدون رضا من يؤخذ منه

ضروب الغشّ والاحتيال كما يقع من السماسرة من التلبيس والتدليس، فيزينون للناس السلع الرديئة والبضائع المزجاة، ويورطونهم في شرائها، ويوهمونهم ما لا حقيقة له، بحيث لو عرفوا الخفايا ما باعوا وما اشتروا