Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-878: PANDANGAN BERKENAAN KEWUJUDAN KARTEL PENGURUSAN JENAZAH

PANDANGAN_BERKENAAN_KEWUJUDAN_KARTEL_PENGURUSAN_JENAZAH.jpg

Soalan

Assalamualaikum SS Datuk Mufti. Baru-baru ini timbul spekulasi daripada orang ramai berkenaan kewujudan kartel pengurusan jenazah. Mohon pandangan Datuk Mufti berkenaan isu tersebut.

Ringkasan Jawapan

  1. Pengurusan jenazah sebaik mungkin adalah tanggungjawab ahli keluarga, sekiranya tiada waris, maka tanggungjawab berpindah ke baitulmal orang islam kerana ia merupakan fardu kifayah yang wajib dilaksanakan.
  2. Umat Islam juga dinasihatkan agar tidak mengambil kesempatan kesusahan orang lain seperti menangguk air yang keruh. Perbuatan mengambil untung berlebihan daripada pengurusan jenazah sehingga memberatkan waris mesti dihentikan kerana ia bercanggah dengan kehormatan insan dan boleh termasuk menzalimi saudara muslim yang lain.
  3. Umat Islam dituntut untuk memudahkan urusan orang lain dan saling menolong antara satu sama lain.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pertama, pengurusan jenazah yang merangkumi mandi, kafan, solat dan kebumikan jenazah merupakan perkara yang wajib oleh umat Islam. Ia merupakan fardu kifayah menurut ijmak ulama. Tuntutan fardu kifayah untuk menguruskan jenazah ditujukan kepada semua yang mengetahui kematian jenazah tersebut sama ada keluarga terdekat atau selainnya. Ia juga wajib dilakukan dengan segera setelah disahkan kematian dan jelas tanda-tanda kematian seseorang itu.[1]

Kos pengurusan jenazah pada asalnya ialah ditanggung daripada harta pusaka si mati itu sendiri. Kos pengurusan jenazah bagi perempuan yang berkahwin pula ditanggung oleh suaminya, manakala bagi perempuan yang tidak bersuami ditanggung daripada harta pusakanya sendiri. Jika si mati tersebut dan orang yang menanggung nafkahnya tiada harta untuk menguruskan jenazah, maka kos tersebut ditanggung oleh baitulmal orang Islam.[2]

Kemuliaan Tubuh Badan Insan

Seterusnya, manusia pula telah diciptakan oleh Allah SWT dengan kemuliaan dan pelbagai kelebihan daripada kebanyakan makhluk-makhluk Allah SWT yang lain. Hal ini dirakam dalam firman Allah SWT:

وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا 

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam. Dan Kami telah mengangkut mereka di daratan dan di lautan, dan Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang lebih sempurna daripada kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.”

Imam Ibn Kathir menafsirkan ayat ini menerangkan bahawa Allah SWT mengkhabarkan kemuliaan yang dikurniakan kepada anak-anak Adam iaitu diciptakan dalam bentuk yang terbaik dan keadaan yang paling sempurna yang mampu berjalan di atas dua kaki dan makan dengan tangan-tangan mereka, seterusnya dijadikan pula pendengaran dan penglihatan serta hati untuk dimanfaatkan bagi perkara-perkara dunia dan akhirat.[3]  

Justeri, kemuliaan manusia ini mesti dipelihara bahkan sehingga selepas seseorang insan itu meninggal dunia. Oleh sebab itu, Islam mengajar bahawa jenazah mestilah dijaga sebagaimana ia dalam keadaan hidup. Saidatina ‘Aishah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

كَسْرُ عَظمِ الْميِّتِ ككَسرِهِ حيّاً

Maksudnya: “Sesungguhnya mematahkan tulang orang beriman yang telah mati seperti mematahkan tulang orang beriman yang masih hidup.”

(Riwayat Abu Daud)

Hadis ini menjelaskan bahawa haram mematahkan tulang orang yang telah mati sebagaimana haram ketika ia masih hidup. Syeikh al-‘Azim Abadi juga menukilkan pandangan al-Tibi yang berkata bahawa pada hadis ini terdapat isyarat agar tidak dihina mayat orang yang telah mati sebagaimana dia tidak boleh dihinakan ketika masih hidup.[4]

Isu kartel yang mengeksploitasi pengurusan jenazah sebagai sumber untuk mengaut keuntungan berganda semestinya merupakan perbuatan yang bercanggah dengan kemuliaan manusia lebih-lebih lagi sehingga membawa kepada penahanan jenazah tersebut daripada diuruskan hanya kerana kos pengurusan jenazah yang masih tidak dibayar sepenuhnya.

Haram Menzalimi Orang Lain

Pihak-pihak yang melakukan perkara ini juga ibarat menangguk di air keruh kerana telah menzalimi dan mengambil kesempatan ke atas waris yang baru sahaja ditimpa musibah kematian. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis qudsi bahawa Allah SWT berfirman

‌يَا ‌عِبَادِي، ‌إِنِّي ‌حَرَّمْتُ ‌الظُّلْمَ ‌عَلَى ‌نَفْسِي، ‌وَجَعَلْتُهُ ‌بَيْنَكُمْ ‌مُحَرَّمًا، ‌فَلَا ‌تَظَالَمُوا.

Maksudnya: “Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya aku mengharamkan sifat zalim atas diri-Ku dan aku jadikan (sifat zalim) itu haram sesama kamu, maka janganlah kamu menzalimi sesama kamu.” 

(Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi mensyarahkan hadis qudsi ini menjelaskan bahawa larangan Allah daripada menzalimi sesama manusia pada akhir hadis adalah sebagai penguat kepada ayat sebelumnya yang telah jelas menyebutkan pengharaman perlakuan zalim.[5]

Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ ضَارَّ، ضَارَّ اللَّهُ بِهِ، وَمَنْ شَاقَّ، شَقَّ اللَّهُ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Siapa yang memudaratkan (orang lain) Allah akan memudaratkannya dan siapa yang menyusahkan (urusan orang lain) Allah akan menyusahkan urusannya.”

(Riwayat al-Tirmizi)

Selain itu, perbuatan menahan jenazah kerana kos pengurusan jenazah tersebut belum dibayar pula bercanggah dengan tuntutan agama agar mempercepatkan pengurusan jenazah. Hukum berkenaan perkara tersebut telah dijelaskan secara terperinci dalam artikel kami bertajuk Irsyad Hukum Siri Ke-877: Isu Pembekuan Jenazah Bayi Muslim Di Hospital Swasta.[6] Tambahan pula, kos yang tinggi dan melampau menyebabkan sebahagian waris terutama yang kurang berkemampuan tidak mampu melaksanakan bayaran tersebut.

Kesimpulan

  1. Pengurusan jenazah sebaik mungkin adalah tanggungjawab ahli keluarga, sekiranya tiada waris, maka tanggungjawab berpindah ke baitul mal orang islam kerana ia merupakan fardu kifayah yang wajib dilaksanakan.
  2. Umat Islam juga dinasihatkan agar tidak mengambil kesempatan kesusahan orang lain seperti menangguk air yang keruh. Perbuatan mengambil untung berlebihan daripada pengurusan jenazah sehingga memberatkan waris mesti dihentikan kerana ia bercanggah dengan kehormatan insan dan boleh termasuk menzalimi saudara muslim yang lain.
  3. Umat Islam dituntut untuk memudahkan urusan orang lain berdasarkan sabda Nabi SAW:

مَن نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِن كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللَّهُ عنْه كُرْبَةً مِن كُرَبِ يَومِ القِيَامَةِ، وَمَن يَسَّرَ علَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللَّهُ عليه في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَمَن سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللَّهُ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَاللَّهُ في عَوْنِ العَبْدِ ما كانَ العَبْدُ في عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: “Siapa yang membebaskan seorang mukmin dari kesusahan dunia maka Allah akan melepaskannya dari kesusahan hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutup aib saudaranya yang Islam maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan membantu hamba selagimana hamba membantu saudaranya.”

(Riwayat Muslim)

WaAllahua‘lam

 

Rujukan: 

[1] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Shafi‘i, (Beirut: Dar al-Qalam, 2011), jld. 1 hlmn. 604.

يجب تجهيز الميت، وتجب أربعة أمور عقب الموت مباشرة وهي: الغسل والتكفين والصلاة عليه والدفن وهي فروض كفاية بالإجماع إلا ما يستثنى منها لسبب كالشهيد كما سيأتي تفصيله.

وتجب المبادرة في هذه الأمور بعد تحقق الموت وظهور علاماته.

[2] Ibid, 611

ويكون الكفن من تركة اليت، لقوله صلى الله عليه وسلم في المحرم الذي خر من بعيره: ((كفنوه في ثوبيه))، ويقدم التكفين من تركته على الدين ، كما تقدم كسوة المفلس على ديون غرمانه ، ولو طلب بعض الورثة أن يكفنه من ماله ، ورفض الآخرون . فيكفن من التركية ، حتى لا تلحقهم منة في تكفيبن الوارث من ماله ، ويكون كفن الزوجة ومؤنة غسلها ودفنها وتجهيزها على الزوج، لأنه يلزمه كسوتها في حال الحياة فيلزمه كفنها وتجهيزها بعد الوفاة، فإن لم يكن للمرأة زوج فالكفن من مالها، فإن لم يكن لها مال فالكفن على من يلزمه نفقتها اعتباراً بالكسوة في حال الحياة، وان لم يكن للميت مال، ولا من ينفق عليه. وجبت مؤنة تجهيزه من بيت المال كالنفقة

[3] Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, (Arab Saudi: Dar Ibn al-Jauzi, 1431H), jld. 5 hlmn. 97.

ويخبر تعالى عن تشريفه لبني آدم وتكريمه إياهم في خلقه لهم على أحسن الهيئات وأكملها كما قال تعالى: {لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ (4)} [التين] أي: يمشي قائمًا منتصبًا على رجليه ويأكل بيديه، وغيره من الحيوانات يمشي على أربع ويأكل بفمه، وجعل له سمعًا وبصرًا وفؤادًا يفقه بذلك كله وينتفع به ويفرق بين الأشياء ويعرف منافعها وخواصها ومضارها في الأمور الدينية والدنيوية.

[4] Muhammad Asyraf bin Amir al-‘Azim Abadi, ‘Aun al-Ma‘bud Syarh Sunan Abi Daud, (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan ke-2, 1415H), 9/18.

(كَكَسْرِهِ حَيًّا) يَعْنِي فِي الْإِثْمِ كَمَا فِي رِوَايَةٍ. قَالَ الطِّيبِيُّ إِشَارَةٌ إِلَى أَنَّهُ لَا يُهَانُ مَيِّتًا كَمَا لَا يُهَانُ حَيًّا

[5] Yahya bin Sharaf al-Nawawi, al-Minhaj Sharh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath, 1392H), jld. 16, hlmn. 132.

(وَجَعَلْتُهُ بَيْنكُمْ مُحَرَّمًا فَلَا تَظَالَمُوا) هُوَ بِفَتْحِ التَّاءِ أَيْ لَا تَتَظَالَمُوا وَالْمُرَادُ لَا يَظْلِمُ بَعْضُكُمْ بَعْضًا وَهَذَا تَوْكِيدٌ لِقَوْلِهِ تَعَالَى يَا عِبَادِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنكُمْ مُحَرَّمًا وَزِيَادَةُ تَغْلِيظٍ فِي تَحْرِيمِهِ

[6] Lihat: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/6067-irsyad-hukum-siri-ke-877-isu-pembekuan-jenazah-bayi-muslim-di-hospital-swasta