Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

Mukadimah

Para fuqaha mazhab telah berbeza pendapat berkenaan kaffarah puasa bagi sesiapa yang melanggar sumpah. Sebahagian mereka berpendapat, puasa boleh dilakukan secara berasingan manakala sebahagian yang lain mengatakan bahawa puasa kaffarah hendaklah dilakukan secara tatabu’ (berturut-turut). Pendapat ini berdasarkan sebuah qiraat daripada Saidina Abdullah Ibn Mas’ud R.anhu:

فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّام مُتَتَابِعَات فَمَن لَّمْ يَجِدْ

Maksudnya: Maka sesiapa yang tidak mendapati (hamba) maka dia berpuasa sebanyak tiga hari secara berturut-turut.

Di dalam mashaf al-Quran yang kita baca pada hari ini, tidak terdapat perkataan ‘mutatabi’at (berturut-turut) tersebut. Maka timbul persoalan berikut:

  • Adakah qiraat Ibn Mas’ud tersebut mutawatir atau syazzah ?
  • Jika ia syazzah adakah ia boleh dijadikan hujah dalam hukum hakam ?

Justeru, di dalam Irsyad Usul Al-Fiqh siri ini, kami akan berkongsikan secara ringkas berkenaan hukum berhujah dengan qiraat syazzah di dalam hukum-hakam.

 

Definisi Syaz

Dari sudut bahasa syaz membawa maksud: Bersendirian.

Dari segi istilah: Sesuatu yang berlawanan bagi mutawatir.

Berdasarkan definisi di atas dapatlah kita fahami bahawa qiraah syazzah merupakan qira’ah yang berlawanan dengan qiraah mutawatir. Manakala qiraah mutawatir itu mempunyai tiga ciri yang berikut:

  • Menepati bahasa arab sekalipun dari satu sudut.
  • Bertepatan dengan salah satu dari mushaf uthmani.
  • Sanad qiraat tersebut sahih.

Ini sebagaimana kata al-Imam Ibn al-Jazari Rahimahullah: Setiap qiraat yang bertepatan dengan bahasa arab sekalipun pada satu sudut, menepati salah satu dari mushaf-mushaf uthmani sekalipun secara ihtimal, serta sahih sanadnya maka ia merupakan qiraat yang tepat dan tidak boleh untuk kita menolaknya. Lihat Al-Nasyr Fil Qiraat al-‘Asyr, Ibn al-Jazari (1/9).

Kata al-Syeikh Abu Syaamah Rahimahullah: Apabila terdapatnya kekurangan pada salah satu dari tiga rukun ini (tidak mencukupi salah satunya) maka dikatakan kepada qiraat tersebut sebagai qiraat yang syaz. Lihat al-Bahr al-Muhith, al-Zarkasyi (2/220).

 

Bilangan Qiraat Yang Mutawatir

Berikut kami kongsikan qiraat-qiraat yang mutawatir di sisi para ulama:

  • Abu Amru Ibn al-Ala’.
  • Abdullah bin Kathir al-Makki.
  • Nafi’ bin Abd al-Rahman al-Madani.
  • Ibn ‘Amir al-Syaami.
  • ‘Ashim al-Kufi.
  • Hamzah bin Habib al-Kufi.
  • Ali bin Hamzah al-Kisa’ie al-Kufi.
  • Abu Ja’far Yazid bin al-Qa’qa’.
  • Ya’qub.

Kesemua sepuluh qiraat yang kami sebutkan di atas adalah mutawatir di sisi majoriti qurra’ dan juga ulama usul. Imam Syihabuddin al-Dimyathi Rahimahullah menukilkan kata-kata al-Imam Tajuddin Abd al-Wahhab al-Subki Rahimahullah: Qiraat yang tujuh yang telah dibataskan oleh al-Syathibi dan tiga lagi qiraat iaitu qiraat Abu Ja’far, Ya’qub, dan juga Khalaf adalah mutawatir dan diketahui secara dharuri dalam agama bahawa ianya diturunkan daripada Rasulullah ﷺ . Tidaklah yang membantah hal tersebut melainkan orang jahil. Lihat Ithaf Fudhala al-Basyar Fil Qiraat Arba’ah al-‘Asyar (Hlm. 9).

 

Apakah Itu Qiraat Syazzah ?

Kata al-Imam al-Zarkasyi Rahimahullah: Yang dimaksudkan dengannya (qiraat syazzah) dan yang makrufnya adalah qiraat selain daripada qiraat sab’ah (yang tujuh). Bahkan ia adalah qiraat selain dari qiraat al-‘asyr (yang sepuluh) iaitu tiga qiraat lagi: Ya’qub, Khalaf, serta Abu Ja’far Yazid bin al-Qa’qa’. Pendapat yang mengatakan bahawa tiga qiraat ini sebagai tidak mutawatir adalah pendapat yang sangat lemah. Imam al-Baghawi telah menyebutkan di dalam tafsirnya bahawa telah berlaku ijmak akan keharusan membaca dengannya (tiga qiraat tersebut). Rujuk al-Bahrul Muhith, al-Zarkasyi (1/221).

 

Contoh-Contoh Qiraat Syazzah

Berikut merupakan contoh-contoh bagi qiraat syazzah:

1- Di dalam surah al-Baqarah, Allah S.W.T berfirman:

وَمَا أُنزِلَ عَلَى الْمَلَكَيْنِ بِبَابِلَ هَارُوتَ وَمَارُوتَ

Maksudnya: Dan apa yang telah diturunkan ke atas dua malaikat iaitu Harut dan Marut di Babil (Babylon).

Surah al-Baqarah (102)

Qiraat di atas dibaca oleh al-Dahhak bin Muzahim dengan kalimah  وما أنزل على الملِكين dengan huruf (lam) yang berbaris bawah yang membawa erti dua raja iaitu Nabi Daud A.S dan juga Nabi Sulaiman A.S. Bacaan di atas dianggap syaz kerana ianya tidak mutawatir.

 

2- Saidina Abu Musa al-Asy’ari R.anhu membaca firman Allah:

وَلاَ تَنسَوُاْ الْفَضْلَ بَيْنَكُمْ

Maksudnya: Janganlah kalian lupakan kelebihan yang Allah kurniakan di antara kalian.

Surah al-Baqarah (237)

Beliau R.anhu membacanya dengan ولا تناسوا  dan bacaan ini dianggap syaz kerana tidak mutawatir dan tidak menepati rasm usmani.

 

3- Firman Allah S.W.T:

مَا نَنسَخْ مِنْ آيَةٍ أَوْ نُنسِهَا

Maksudnya: Apa yang Kami nasakhkan daripada ayat ataupun Kami lupakannya.

Surah al-Baqarah (106)

Imam Abu Aswad al-Du’ali membacakan ayat ini dengan kalimah  أو تنسها yang merujuk kepada dhomir (kata ganti diri) kamu yang merujuk kepada Nabi Muhammad S.A.W. Qiraat ini juga tidak mutawatir yang menjadikan ia sebagai qiraat syazzah.

Bilangan Qiraat Syazzah

Qiraat syaz yang mashurnya terbahagi kepada empat. Berikut kami kongsikan qiraat-qiraat yang disebut sebagai qiraat syazzah di sisi para ulama:

  • Ibn Muhaisin.
  • Al-Yazidi.
  • Al-Hasan.
  • Al-A’masy.

 

Kata Imam Tajuddin Abd al-Wahhab al-Subki: Kesimpulannya, qiraat yang tujuh itu telah disepakati bahawa kesemuanya mutawatir. Demikian juga qiraat yang tiga iaitu Abu Ja’far, Ya’qub, dan juga Khalaf menurut pendapat yang paling sahih. Bahkan itulah yang sahih lagi terpilih dan itulah yang telah kami pelajari dan ambil dari majoriti guru-guru kami. Sesungguhnya empat qiraat selepas kesemuanya itu iaitu qiraat Ibn Muhaisin, Al-Yazidi, Al-Hasan, dan al-A’masy adalah qiraat yang syaz secara sepakat. Lihat Ithaf Fudhala al-Basyar Fil Qiraat Arba’ah al-‘Asyar (Hlm. 9).

 

Bolehkah Qiraat Syazzah Menjadi Hujah Di Dalam Hukum Hakam ?

Setelah kita mengetahui berkenaan qiraat mutawatir dan juga qiraat syazzah, kini timbul persoalan: Adakah qiraat syazzah ini boleh dijadikan hujah di dalam hukum hakam ? Berikut kami kongsikan beberapa pendapat fuqaha menurut mazhab yang muktabar:

 

Pertama: Mazhab Imam Malik bin Anas (W.179 H.)

Kata al-Imam Ali bin Ismail al-Ibyari: Yang masyhur dari mazhab Malik dan Syafie bahawasanya qiraat syazzah itu bukanlah hujah. Lihat Bahrul Muhith, al-Zarkasyi (2/221).

Mazhab Maliki berpendapat bahawa tidak boleh berhujah dengan qiraat yang syaz secara mutlak. Ini kerana, orang yang menukilkan qiraat syazzah ini mengatakan bahawa ianya daripada al-Quran. Jika ianya tidak sabit sebagai al-Quran demikian juga ia tidak sabit untuk dijadikan khabar. Oleh yang demikian itu, maka tidak boleh untuk berhujah dengannya.

Kedua:  Mazhab Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’e (W. 204 H.)

Imam Saifuddin Al-Amidi telah menisbahkan pendapat kepada Imam al-Syafi’e bahawasanya beliau mengatakan qiraat syazzah ini bukanlah hujah. Lihat Bahrul Muhith, al-Zarkasyi (2/221).

Kata al-Imam Abu Zakaria Yahya al-Nawawi Rahimahullah: Mazhab kami (Syafi’eyyah) mengatakan bahawa qiraat syaz itu tidak boleh untuk berhujah dengannya serta tidak ada baginya (qiraat syazzah) hukum khabar dari Rasulullah ﷺ. Lihat Syarah Sahih Muslim, al-Nawawi (5/131).

Di antara pendapat dalam mazhab al-Syafie adalah: Tidak boleh berhujah dengan qiraat syazzah apabila ia bersendirian dalam mensabitkan hukum yang baharu. Adapun sekiranya ia merupakan qiraat bayaniah (dalam bentuk memberi penjelasan), sahih sanadnya, serta tidak bercanggah dengan khabar ataupun qiyas maka boleh untuk berhujah dengannya.

Kata al-Imam al-Zarkasyi: Qiraah syazzah itu sama ada ia warid dalam menjelaskan hukum ataupun memulakan hukum baharu. Sekiranya ia warid dalam menjelaskan hukum, maka ia merupakan hujah di sisi Imam al-Syafie. Sekiranya ia warid untuk memulakan hukum seperti qiraat Ibn Mas’ud متتابعات maka ia bukan hujah. Rujuk Bahrul Muhith, al-Zarqasyi (1/388).

 

Ketiga: Majoriti Mazhab Hanafi & Mazhab Hanabilah

Majoriti ulama dari kalangan pengikut mazhab Hanafi dan juga mazhab Hanabilah serta satu riwayat daripada Imam Malik dan Imam al-Syafi’e berpendapat bahawa boleh untuk berhujah dengan qiraat syazzah dalam mengistinbatkan hukum-hakam syarak dengan syarat sanadnya perlulah sahih. Lihat Nihayah al-Suul (2/333), al-Ihkam, Saifuddin al-Amidi (1/160).

Hujah mereka adalah: Qiraat syazzah ini seperti kedudukan hadis ahad dalam beramal dengannya. Tanpa kita mengatakan secara qathi’e (pasti) bahawa ia adalah al-Quran. Dan tidak menjadi satu kemestian apabila kita menafikan yang ia (qiraat syazzah) itu quran bahawa ia juga ternafi dari menjadi khabar yang sabit dari Nabi S.A.W. Oleh itu, boleh untuk berhujah dengannya. Lihat Syarah al-Kaukab al-Munir, Ibn al-Najjar (2/138).

Kata al-Imam Ibn Abd al-Barr al-Andalusi ketika mengulas berkenaan firman Allah S.W.T:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَوٰةِ مِن يَوۡمِ ٱلۡجُمُعَةِ فَٱسۡعَوۡاْ إِلَىٰ ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَذَرُواْ ٱلۡبَيۡعَۚ ذَٰلِكُمۡ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman apabila diserukan untuk solat pada hari Jumaat maka bersegeralah kalian kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah urusan jual beli. Yang demikian itu lebih baik untuk kalian sekiranya kalian mengetahui.

Surah al-Jumaah (9)

Saiduna Umar Ibn al-Khattab R.anhu membaca ayat ini dengan lafaz:

إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاَةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَامْضُوا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ

Maksudnya: Apabila diserukan untuk solat pada hari Jumaat maka berlalulah untuk mengingati Allah.

Kata Ibn Abd al-Barr Rahimahullah: Ini menunjukkan bahawa pendapat yang dikeluarkan oleh para ulama berkenaan berhujah dengan qiraat yang tidak terdapat di dalam mushaf usman dibolehkan dalam bentuk tafsir. Sekalipun tidak dikatakan secara qath’ie bahawasanya ia merupakan kitabullah. Lihat al-Istizkar, Ibn Abd al-Barr (2/296).

 

Tarjih

Setelah meneliti dan menekuni pendapat para fuqaha berkenaan isu ini, kami cenderung mengatakan bahawa qiraat syazzah ini boleh dijadikan hujah secara bersyarat. Iaitu mestilah sanadnya sahih dan muktabar, tidak bercanggah dengan mana-mana khabar ataupun qiyas serta ia digunakan sebagai menjelaskan hukum-hakam.

Semoga dengan sedikit pencerahan berkenaan isu ini dapat memberikan kefahaman buat kita semua. Ameen.