Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

TAHQIQ AL-MASAIL SIRI KE-6: PELBAGAI ISU BERKAITAN HIJRAH DAN INILAH JAWAPANNYA

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Peristiwa hijrah Nabi SAW ke kota Madinah merupakan satu kisah atau peristiwa yang penting kerana bermula dari situlah agama Islam dapat disebarkan sehingga ke serata dunia. Di dalam al-Qur’an juga ada dihikayatkan oleh Allah SWT berkaitan peristiwa yang agung ini iaitu:

 

  • Firman Allah SWT:

 

إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّـهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّـهَ مَعَنَا ۖ فَأَنزَلَ اللَّـهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ اللَّـهِ هِيَ الْعُلْيَا ۗ وَاللَّـهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Al-Taubah:40

 

Maksudnya: “Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedangkan dia salah seorang daripada dua (sahabat) ketika mereka berlindung di dalam gua. Pada ketika itu, dia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.” Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terbawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) adalah yang tertinggi (selama-lamanya) kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

 

Di dalam ayat ini, jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW dan Abu Bakar al-Siddiq RA menempuh pelbagai ujian dan cubaan ketika ingin berhijrah ke Madinah atau nama sebelumnya adalah Yathrib sehinggakan baginda SAW terpaksa bersembunyi di dalam sebuah gua bagi mengelak dijejaki oleh kaum musyrikin pada waktu. Antara perkara lain yang boleh difahami menerusi ayat di atas adalah perancangan kaum musyrikin Makkah dalam usaha mereka untuk membunuh Nabi SAW. Maka dengan sebab itu, Allah SWT perintahkan Nabi SAW agar keluar berhijrah dan meninggalkan tanah airnya yang tercinta.

 

Tambahan pula, di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, bahawa Ibn Abbas RA mengatakan:

 

بُعِثَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَرْبَعِينَ سَنَةً، فَمَكُثَ بِمَكَّةَ ثَلاَثَ عَشْرَةَ سَنَةً يُوحَى إِلَيْهِ، ثُمَّ أُمِرَ بِالهِجْرَةِ فَهَاجَرَ عَشْرَ سِنِينَ، وَمَاتَ وَهُوَ ابْنُ ثَلاَثٍ وَسِتِّينَ

Maksudnya: “Nabi SAW dilantik menjadi rasul pada usia 40 tahun dan baginda tinggal di Makkah selama 13 tahun (dalam menyampaikan dakwahnya). Kemudian, baginda menerima wahyu daripada Allah SWT dan diperintahkan agar berhijrah. Maka baginda SAW berhijrah dan menetap di sana selama 10 tahun lalu wafat ketika berusia 63 tahun.” [Riwayat al-Bukhari (3902)]

 

  • Al-Hafiz Ibn Kathir mengatakan:

 

وَقَدْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ عَلَيْهِ السَّلَامُ فِي شَهْرِ رَبِيعٍ الْأَوَّلِ، سَنَةَ ثَلَاثَ عَشْرَةَ مِنْ بِعْثَتِهِ عَلَيْهِ السَّلَامُ، وَذَلِكَ فِي يَوْمِ الِاثْنَيْنِ

Maksudnya: “Adapun hijrah Nabi SAW adalah pada bulan Rabi’ al-Awwal, tahun ke 13 setelah perutusan baginda SAW sebagai rasul dan ia berlaku pada hari Isnin.” [Lihat: al-Bidayah wa al-Nihayah, 443/4]

 

  • Telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, daripada Ibn Abbas RA berkata:

 

وُلِدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ، وَاسْتُنْبِئَ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ، وَخَرَجَ مُهَاجِرًا مِنْ مَكَّةَ إِلَى الْمَدِينَةِ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ، وَقَدِمَ الْمَدِينَةَ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ، وَتُوُفِّيَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ وَرَفَعَ الْحَجَرَ الْأَسْوَدَ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ

Maksudnya: “Nabi SAW dilahirkan pada hari Isnin, diangkat menjadi nabi pada hari Isnin, keluarberhijrah dari Makkah ke Madinah pada hari Isnin, masuk (sampai) ke Madinah pada hari Isnin, wafat juga pada hari Isnin dan Hajar al-Aswad diangkat (diletakkan) pada hari Isnin.” [Riwayat Ahmad (2506)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini dhaif disebabkan Abdullah bin Lahi’ah]

 

Berdasarkan soalan dan kisah di atas, maka telah timbul beberapa persoalan berkaitan peristiwa hijrah Nabi SAW dan Abu Bakar al-Siddiq ke kota Madinah. Di antaranya adalah sebab pemilihan Madinah sebagai tempat hijrah, kisah sarang labah-labah, kisah dua ekor burung merpati yang menyelamatkan Nabi SAW dan sahabatnya daripada dikesan oleh kaum musyrikin ketika bersembunyi di dalam gua, kisah terbenamnya kaki kuda Suraqah Bin Malik ketika mengejar Nabi SAW, bila Nabi SAW tiba di Madinah, tempoh Nabi di Quba’dan beberapa lagi persoalan yang lain.

 

Pemilihan Kota Madinah Sebagai Tempat Berhirah

Di dalam Sahih al-Bukhari terdapat sebuah hadith yang menceritakan pemilihan kota Madinah sebagai destinasi umat Islam untuk berhijrah. Hadith tersebut adalah:

 

  • Daripada Abu Musa RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

رَأَيْتُ فِي المَنَامِ أَنِّي أُهَاجِرُ مِنْ مَكَّةَ إِلَى أَرْضٍ بِهَا نَخْلٌ، فَذَهَبَ وَهَلِي إِلَى أَنَّهَا اليَمَامَةُ، أَوْ هَجَرُ، فَإِذَا هِيَ المَدِينَةُ يَثْرِبُ

Maksudnya: “Aku telah bermimpi bahawa sesungguhnya aku berhijrah dari kota Makkah menuju ke suatu tempat yang ada pohon kurma padanya. Lalu aku mengira tempat itu ialah adalah al-Yamamah atau Hajr. Akan tetapi, ia sebenarnya adalah Yathrib (Nama lama bagi kota Madinah).” [Riwayat al-Bukhari (3622)]

 

Selain itu, di dalam hadith yang lain juga ada disebutkan:

 

إِنِّي أُرِيتُ دَارَ هِجْرَتِكُمْ رَأَيْتُ ذَاتَ نَخْلٍ بَيْنَ لَابَتَيْنِ

Maksudnya: “Aku diperlihatkan negeri hijrah kamu, iaitu satu negeri yang memiliki pohon kurma di antara dua yang berbatu.” [Riwayat al-Bukhari (3905)]

 

Apabila kaum muslimin mendengar sahaja ucapan Rasulullah SAW ini, maka mereka terus bergegas melakukan hijrah ke kota Madinah. Begitu juga dengan sebahagian kaum muslimin yang sedang berada di Habsyah. Mereka juga segera berangkat menuju ke kota Madinah.

 

Kisah Sarang Labah-Labah Di Pintu Gua Thur

Para ulama’ telah berbeza pendapat dalam menilai akan kesahihan kisah sarang labah-labah ini. Sebelum kami menyatakan beberapa pendapat para ulama’ berkaitan kisah ini, maka ada baiknya jika kami datangkan sumber kisah ini terlebih dahulu. Kisah ini iaitu kisah sarang labah-labah di gua Thur ada diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal di dalam musnadnya:

 

  • Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

فَاقْتَصُّوا أَثَرَهُ، فَلَمَّا بَلَغُوا الْجَبَلَ خُلِّطَ عَلَيْهِمْ، فَصَعِدُوا فِي الْجَبَلِ، فَمَرُّوا بِالْغَارِ، فَرَأَوْا عَلَى بَابِهِ نَسْجَ الْعَنْكَبُوتِ، فَقَالُوا: لَوْ دَخَلَ هَاهُنَا، لَمْ يَكُنْ نَسْجُ الْعَنْكَبُوتِ عَلَى بَابِهِ، فَمَكَثَ فِيهِ ثَلَاثَ لَيَالٍ

Maksudnya: “Mereka (Kaum Musyrikin) menjejaki kesan Nabi SAW. Apabila mereka tiba di sebuah bukit, mereka tercari-cari lalu mereka telah melalui sebuah gua dan mereka terlihat sarang labah-labah di pintu gua. Mereka berkata: Sekiranya dia (Nabi SAW) masuk ke gua melalui pintu ini pasti tiada sarang labah-labah di pintu ini. Maka mereka (kaum musyrikin) berada di gua tersebut selama 3 malam.” [Riwayat Ahmad (3251)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini dhaif]

 

Terdapat sebuah lagi riwayat berkaitan keberadaan Nabi SAW dan Abu Bakar RA di gua Thur. Telah berkata Abu Bakar al-Siddiq RA apabila melihat ada seorang lelaki dihadapan gua:

 

يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ لَيَرَانَا، فَقَالَ: كَلَّا إِنَّ مَلَائِكَةً تَسْتُرُنَا بِأَجْنِحَتِهَا

Maksudnya: “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya lelaki tersebut akan melihat kita. Maka Nabi SAW bersabda: Tidak sesekali, kerana sesungguhnya malaikat telah menutup kita dengan sayapnya.” [Riwayat al-Thabarani di Mu’jam al-Kabir (284),  106/24]

 

Hukum Terhadap Kisah Ini

Sebagaimana kami nyatakan di atas, para ulama’ berbeza pendapat dalam menentukan hukum terhadap kisah atau riwayat ini.

 

  • Kata al-Hafiz Ibn Kathir di dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah:

 

وَهَذَا إِسْنَادٌ حَسَنٌ، وَهُوَ مِنْ أَجْوَدِ مَا رُوِيَ فِي قِصَّةِ نَسْجِ الْعَنْكَبُوتِ عَلَى فَمِ الْغَارِ

Maksudnya: “Sanad hadith ini adalah hasan dan ia merupakan antara yang terbaik diriwayatkan pada kisah sarang labah-labah di pintu gua.” [Lihat: al-Bidayah wa al-Nihayah, 451/4]

 

Imam Ibn Kathir mendatang satu riwayat yang mursal (riwayat al-Tabi’in terus kepada Nabi SAW tanpa perantaraan sahabat) daripada al-Hasan al-Basri dan riwayatnya adalah hasan dengan keadaannya untuk dijadikan syahid (penyokong kepada riwayat Ibn Abbas RA):

 

انْطَلَقَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبُو بَكْرٍ إِلَى الْغَارِ، وَجَاءَتْ قُرَيْشٌ يَطْلُبُونَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَكَانُوا إِذَا رَأَوْا عَلَى بَابِ الْغَارِ نَسْجَ الْعَنْكَبُوتِ قَالُوا: لم يدْخل أحد

Maksudnya: “Nabi SAW dan Abu Bakar bertolak ke gua. Manakala, kaum Quraish datang mencari Nabi SAW dan mereka melihat terdapat sarang labah-labah di pintu gua sambal berkata: Tidak ada sesiapa yang memasukinya.” [Lihat: al-Bidayah wa al-Nihayah, 451/4]

 

  • Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fath al-Bari mengatakan:

 

وَذكر أَحْمد من حَدِيث بن عَبَّاسٍ بِإِسْنَادٍ حَسَنٍ

Maksudnya: “Imam Ahmad telah meriwayatkan daripada hadith Ibn Abbas dengan sanad yang hasan.” [Lihat: Fath al-Bari, 236/7]

 

  • Imam al-Thahawi berkata:

 

وَقَدْ ذَكَرْنَا فِيمَا تَقَدَّمَ مِنَّا فِي كِتَابِنَا هَذَا حَدِيثُ أَبِي بَلْجٍ، عَنْ عَمْرِو بْنِ مَيْمُونٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ فِي نَوْمِ عَلِيٍّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَلَى فِرَاشِ النَّبِيِّ عَلَيْهِ السَّلَامُ لَابِسًا إِيَّاهُ لِبَاسَهُ بُرْدَةً، فَذَلِكَ الْحَدِيثُ شَدَّ مَا فِي هَذَا الْحَدِيثِ

Maksudnya: “Kami telah menyebut dulu di dalam kitab kami ini iaitu hadith Abi Balj, daripada ‘Amr bin Maimun, daripada Ibn Abbas pada tidurnya Ali RA di atas katil Rasulullah SAW dengan dipakaikan kepadanya kain burdah. Maka hadith ini menguatkan apa yang terdapat di dalam hadith.” [Lihat: Syarah Musykil al-Athar, 5/15]

 

Setelah melihat pendapat-pendapat di atas, kami lebih cenderung kepada pendapat yang mengatakan bahawa kisah sarang labah-labah ini thabit sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Ibn Kathir dan juga al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitab mereka dan ia juga dinukilkan di dalam kitab-kitab sirah walaupun kebanyakan ahli hadith mempertikaikan akan kewujudan kisah ini disebabkan kedhaifan yang ada pada sanad. Tambahan pula, perkara ini melibatkan sirah maka melihat kepada pendapat ahli sirah adalah lebih utama kerana mereka merupakan ahli di dalam bidang tersebut dan kisah ini juga tidak melibatkan isu aqidah atau ibadah. Ini kerana, ia adalah sekadar pengajaran kepada orang-orang yang membacanya sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT selepas penceritaan Nabi Yusuf AS:

 

  • Firman Allah SWT:

 

لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ

Yusuf:111

 

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, kisah nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran.”

 

Kisah Dua Merpati Di Pintu Gua

Adapun kisah burung merpati ini dinukilkan oleh Imam Ibn Kathir di dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah. Beliau menyatakan daripada Anas bin Malik RA:

 

انْظُرُوا فِي الْغَارِ. فَاسْتَقْدَمَ الْقَوْمَ حَتَّى إِذَا كَانُوا مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْرَ خَمْسِينَ ذِرَاعًا، فَإِذَا الْحَمَامَتَانِ، فَرَجَعَ فَقَالُوا: مَا رَدَّكَ أَنْ تَنْظُرَ فِي الْغَارِ؟ قَالَ: رَأَيْتُ حَمَامَتَيْنِ وَحْشِيَّتَيْنِ بِفَمِ الْغَارِ، فَعَرَفَتْ أَنْ لَيْسَ فِيهِ أَحَدٌ

Maksudnya: “Lihatlah kamu ke dalam gua, maka mereka (kaum musyrikin) mendatanginya sehingga jarak antara mereka dengan gua tersebut adalah sebanyak 50 hasta. Tiba-tiba terdapat dua ekor burung merpati lalu mereka kembali sambil berkata: Apa yang menyebabkan kamu tidak melihat dahulu apa yang ada di dalam gua?. Dia menjawab: Aku telah melihat dua ekor burung merpati di pintu gua, maka daripada situ aku mengetahui bahawa tiada orang di dalamnya.” [Lihat: al-Bidayah wa al-Nihayah, 453/4]

 

Walaupun Imam Ibn Kathir menukilkan kisah ini di dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah tetapi beliau mengatakan setelah mendatangkan kisah ini:

 

وَهَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ جِدًّا مِنْ هَذَا الْوَجْهِ

Maksudnya: “Hadith ini (hadith tentang burung merpati ini) teramat ganjil daripada wajah (riwayat) ini.”

 

Antara sumber kisah ini yang boleh didapati adalah daripada Mu’jam al-Kabir oleh Imam al-Thabarani:

 

وَأَمَرَ حَمَامَتَيْنِ وَحْشِيَّتَيْنِ فَوَقَفتَا بِفَمِ الْغَارِ

Maksudnya: “Dan Allah memerintahkan dua ekor burung merpati lalu hinggap di pintu gua.” [Riwayat al-Thabarani di dalam Mu’jam al-Kabir (1082)]

 

Selain itu, Imam al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid mengatakan setelah menukilkan hadith berkaitan burung merpati ini: 

 

رَوَاهُ الطَّبَرَانِيُّ فِي الْكَبِيرِ وَمُصْعَبٌ الْمَكِّيُّ وَالَّذِي رَوَى عَنْهُ، وَهُوَ عُوَيْنُ بْنُ عَمْرٍو الْقَيْسِيُّ لَمْ أَجِدْ مَنْ تَرْجَمَهُمَا، وَبَقِيَّةُ رِجَالِهِ ثِقَاتٌ

Maksudnya: “Hadith ini diriwayatkan oleh Imam al-Thabarani di dalam Mu’jam al-Kabir. Adapun Mus’ab al-Makki yang meriwayatkan daripada ialah ‘Uwain bin ‘Amr al-Qaisiy, aku tidak ketahui sesiapa yang menceritakan tentang biografinya dan perawi-perawi selain daripadanya adalah thiqah (dipercayai).” [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 231/3]

 

وَفِيهِ جَمَاعَةٌ لَمْ أَعْرِفْهُمْ

Maksudnya: “Padanya (riwayat itu) sekumpulan perawi yang tidak aku kenali.” [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 52/6]

 

Imam al-Zahabi mengatakan salah seorang perawi di dalam rantaian sanad hadith adalah tidak dikenali iaitu Abu Mus’ab atau namanya ‘Aun atau ‘Uwain bin ‘Amr sebagaimana di dalam kitabnya Mizan al-‘Itidal:

 

أَبُوْ مُصْعَبٍ لَا يُعْرَفُ

Maksudnya: “Abu Mus’ab (‘Aun atau ‘Uwain bin ‘Amr) tidak dikenali.” [Lihat: Mizan al-‘Itidal, 307/3]

 

Setelah melihat beberapa pandangan di atas, kami berpandangan kisah burung merpati ini adalah tidak thabit di dalam peristiwa hijrah Nabi SAW ke Madinah.

 

Kisah Terbenamnya Kaki Kuda Suraqah Bin Malik

Berikut adalah kisah Suraqah bin Malik ketika beliau cuba mengejar Nabi SAW dan juga Abu Bakar al-Siddiq dalam perjalanan mereka ke kota Madinah.

 

  • Kata Suraqah bin Malik:

 

“Aku arahkan kuda itu membawa aku sehingga hampir dengan mereka. Tiba-tiba kudaku tergelincir lalu aku terjatuh. Aku bangun semula, lantas menghulurkan tanganku ke dalam sarung anak panah dan aku keluarkan beberapa anak panah dan dengan anak panah itu aku cuba membuat ramalan, adakah aku dapat memudharatkan mereka atau tidak. Tetapi yang terbit ialah yang aku tidak suka. Aku pun terus menunggang kudaku dan aku tidak pedulikan ramalanku. Kudaku membawa aku semakin hampir sehingga aku mendengar bacaan al-Qur’an oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW tidak berpaling sedikit pun tetapi Abu Bakar yang banyak berpaling. Tiba-tiba kaki hadapan kudaku terbenam ke dalam bumi hingga ke paras lutut, lalu aku terjatuh lagi. Aku bangun dan menarik kudaku. Tatkala sudah hampir kakinya mahu keluar dan ia sudah mula berdiri betul. Tiba-tiba kelihatan di hadapannya debu-debu yang berkilauan di langit seperti asap.”

 

Sumber kisah Suraqah bin Malik yang terjatuh daripada kudanya ini ada dinukilkan di dalam kitab-kitab Sirah Nabawiyyah yang ditulis oleh para ulama’ terdahulu dan juga masa kini. Antaranya:

  • Kisah ini dinukilkan oleh Imam Ibn Hisyam. [Lihat: Sirah Ibn Hisyam, 459/1]
  • Kisah ini ada diceritakan oleh Imam Ibn Kathir. [Lihat: Al-Bidayah Wa al-Nihayah, 461/4]
  • Kisah ini juga dimuatkan oleh Syeikh Sofiy al-Rahman di dalam kitabnya. [Al-Rahiq al-Makhtum, 167-168]
  • Syeikh Muhammad al-Ghazali juga menyebutkan kisah ini. [Lihat: Fiqh al-Sirah, 176]
  • Syeikh Said Ramadhan al-Bouthi ada menukilkan kisah ini di dalam kitab Fiqh al-Sirahnya. [Lihat: Fiqh al-Sirah, 134]

 

Bilakah Nabi SAW Tiba Di Madinah

Pada hari Isnin 12 Rabi’ul al-Awwal tahun ke-13 selepas perlantikan Nabi SAW sebagai rasul. Orang-orang di Madinah keluar seperti biasa iaitu untuk menunggu kehadiran Nabi SAW. Apabila cuaca mula panas, mereka pulang ke rumah masing-masing. Tiba-tiba salah seorang daripada yahudi naik ke salah satu bukit di Madinah lalu melihat Nabi SAW dan sahabat-sahabat dalam perjalanan. Maka dia memanggil orang ramai dengan suara yang tinggi. [Lihat: Zad al-Ma’ad, 52/3]

 

Tambahan pula, terdapat sebuah hadith di dalam musnad Ahmad yang telah kami nyatakan sebelu, daripada ini iaitu Nabi SAW tiba di Madinah pada hari Isnin sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad, daripada Ibn Abbas RA berkata:

 

وَقَدِمَ الْمَدِينَةَ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ

Maksudnya: “Baginda SAW tiba (sampai) di Madinah pada hari Isnin.” [Riwayat Ahmad (2506)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini dhaif disebabkan Abdullah bin Lahi’ah]

 

Tempoh Menetap Nabi SAW Sebelum Memasuki Madinah Dan Arahan Pembinaan Masjid Quba’

Terdapat sebuah hadith sahih yang panjang menceritakan akan perihal ini:

  • Daripada Anas bin Malik RA, beliau menceritakan:

 

قَدِمَ الْمَدِينَةَ، فَنَزَلَ فِي عُلْوِ الْمَدِينَةِ، فِي حَيٍّ يُقَالُ لَهُمْ بَنُو عَمْرِو بْنُ عَوْفٍ، فَأَقَامَ فِيهِمْ أَرْبَعَ عَشْرَةَ لَيْلَةً

Maksudnya: “Apabila Nabi SAW tiba di Madinah maka Nabi SAW singgah di satu kawasan yang tinggi di Madinah iaitu sebuah perkampungan yang dinamakan Bani ‘Amr bin ‘Auf. Nabi SAW menetap di situ selama 14 malam.” [Riwayat al-Bukhari (3932) dan Muslim (524)]

 

Dalam tempoh ini jugalah, Nabi SAW mengarahkan untuk dibina sebuah masjid. Ini dinukilkan oleh Ibn al-Qayyim di dalam kitabnya Zad al-Ma’ad:

 

فَأَقَامَ فِي بَنِي عَمْرِو بْنِ عَوْفٍ أَرْبَعَ عَشْرَةَ لَيْلَةً، وَأَسَّسَ مَسْجِدَ قُبَاءَ، وَهُوَ أَوَّلُ مَسْجِدٍ أُسِّسَ بَعْدَ النُّبُوَّةِ

Maksudnya: “Nabi SAW bermukim di Bani ‘Amr bin ‘Auf selama 14 malam dan Baginda SAW mengasaskan masjid Quba’. Masjid Quba’ merupakan masjid yang pertama diasaskan selepas kenabian.” [Lihat: Zad al-Ma’ad, 52/3]

 

Akan tetapi terdapat riwayat yang mengatakan bahawa Nabi SAW menetap di Quba’ selama 4 malam sebagaimana yang dinyatakan oleh penulis al-Rahiq al-Makhtum. [Lihat: al-Rahiq al-Makhtum, 170] dan ini juga merupakan pendapat Ibn Ishaq di dalam Sirah Ibn Hisyam. [Lihat: Sirah Ibn Hisyam, 494/1]

 

Sejarah Unta Nabi SAW

Nabi SAW mempunyai seekor unta betina yang dinamakan dengan al-Qaswa’ (القصواء) dan unta ini telah dibeli oleh Rasulullah SAW daripada Abu Bakar RA. Unta ini dikatakan hujung bahagian telinga atau hidungnya terpotong dan unta ini Allah SWT telah memberi kelebihan kepadanya seperti kekuatan dan kelajuan berbanding unta-unta yang lain. Tambahan pula, Unta inilah yang digunakan oleh Nabi SAW dalam peristiwa Hijrah ke Madinah dan juga beberapa persitiwa yang lain seperti pemilihan tapak Masjid Nabawi. Kisah pembelian unta ini ada diceritakan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari.

 

  • Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

فَخُذْ بِأَبِي أَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِحْدَى رَاحِلَتَيَّ هَاتَيْنِ، قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: بِالثَّمَنِ. قَالَتْ: فَجَهَّزْنَاهُمَا أَحَثَّ الجِهَازِ

Maksudnya: “Ambillah dengan nama ayahmu wahai Rasulullah SAW salah satu daripada dua tunggangan (unta) ini. Maka Nabi SAW bersabda: Dengan harga.” [Riwayat al-Bukhari (3905)]

 

Bilangan Rombongan Bersama Nabi SAW

 

Telah berkata al-Barra’:

 

أَوَّلُ مَنْ قَدِمَ عَلَيْنَا مُصْعَبُ بْنُ عُمَيْرٍ، وَابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ وَكَانَا يُقْرِئَانِ النَّاسَ، فَقَدِمَ بِلاَلٌ وَسَعْدٌ وَعَمَّارُ بْنُ يَاسِرٍ، ثُمَّ قَدِمَ عُمَرُ بْنُ الخَطَّابِ فِي عِشْرِينَ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ " قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Orang yang pertama tiba daripada kalangan sahabat Nabi SAW adalah Mus’ab bin Umair dan juga Ibn Ummi Maktum. Mereka berdua juga mengajar al-Qur’an di sana. Kemudian, datangnya Ammar, Bilal, Sa’ad dan Umar bin al-Khattab serta bersamanya 20 orang. Setelah itu, barulah Rasulullah SAW tiba.” [Riwayat al-Bukhari (3925)]

 

Tambahan pula, ramai daripada kalangan muhajirin telah menunggu di Quba’ pada satu tempat bernama al-‘Usbah (العصبة) sebelum ketibaan Nabi SAW. [Lihat: al-Sirah al-Nabawiyyah al-Sahihah, 227]

 

Siapakah Abdullah Ibn ‘Uraiqit

Dalam peristiwa Hijrah ini, Rasulullah SAW dan juga Abu Bakar RA telah mengupah seorang bernama Abdullah bin ‘Uraiqit daripada kalangan musyrikin sebagai penunjuk jalan agar tidak dapat dikesan oleh kaum musyrikin Makkah. Imam Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan bahawa Imam Abd al-Ghani al-Maqdisi di dalam kitab sirahnya mengatakan bahawa tidak diketahui akan keislamannya dan begitu juga al-Nawawi di dalam Tahzib al-Asma’. [Lihat: al-Isobah, 5/4]

 

Ucapan Nabi SAW Di Madinah

Antara ucapan pertama Nabi SAW apabila tiba di Madinah adalah:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

لَوْلاَ الهِجْرَةُ لَكُنْتُ امْرَأً مِنَ الأَنْصَارِ، وَلَوْ سَلَكَ النَّاسُ وَادِيًا وَسَلَكَتِ الأَنْصَارُ وَادِيًا  أَوْ شِعْبًا  لَسَلَكْتُ وَادِيَ الأَنْصَارِ، أَوْ شِعْبَ الأَنْصَارِ

Maksudnya: “Jikalau bukan kerana hijrah, maka aku adalah seorang daripada kaum Ansar. Jikalau manusia mengharungi satu lembah dan kaum Ansar mengharungi satu lembah yang lain atau lereng, nescaya aku akan mengharungi lembah kaum Ansar atau lereng kaum Ansar” [Riwayat al-Bukhari (7244)]

 

Tempoh Hijrah Nabi SAW Ke Madinah

Berkaitan tarikh penghijrahan Nabi SAW telah menjadi perselisihan dalam kalangan para ulama’ maka tempoh hijrah akan bergantung kepada bermulanya hijrah Nabi SAW. Di sini kami sertakan dua pendapat yang dinyatakan oleh dua orang ulama’ kontemporari yang terkenal iaitu Syeikh Said Ramadhan al-Bouthi di dalam Fiqh al-Sirah dan Syeikh Sofiy al-Rahman al-Mubarakfuri di dalam al-Rahiq al-Makhtum.

 

Menurut Syeikh al-Bouthi Nabi SAW keluar dari Makkah pada 2 Rabi’ul al-Awwal 13 tahun selepas dilantik menjadi rasul dan tiba di Madinah pada 12 Rabi’ul al-Awwal 13 tahun selepas dilantik menjadi rasul. Berdasarkan pendapat ini perjalanan Nabi adalah selama 10 hari.

 

Adapun menuurut Syeikh al-Mubarakfuri Nabi SAW keluar dari Makkah pada 27 Safar 14 tahun selepas dilantik menjadi rasul dan tiba di Madinah pada 12 Rabi’ul al-Awwal 14 tahun selepas dilantik menjadi rasul. Jika melihat kepada pendapat ini perjalanan Nabi SAW adalah selama sekitar 15 hari.

 

Melihat kepada kedua pendapat di atas, maka difahami bahawa tempoh hijrah Nabi SAW adalah di antara 10 ke 15 hari termasuklah hari Baginda SAW dan Abu Bakar RA di Gua Thur.

 

Penutup

Kesimpulannya, peristiwa hijrah Nabi SAW ke kota Madinah bersama Abu Bakar al-Siddiq RA telah membuka satu lipatan sejarah yang baru buat dunia Islam. Ini kerana, bermula daripada hijrah ini, agama Islam ini mula berkembang sehingga Islam dapat menakluki dunia. Akhirnya, marilah sama-sama kita mengambil semangat hijrah ini agar menjadi insan yg lebih baik dalam semua aspek dan seterusnya semoga Allah SWT menghimpunkan kita bersama-sama para nabi dan sahabat yang telah banyak berjasa kepada agama ini sehingga kita dapat menikmati dua nikmat yang besar iaitu Iman dan Islam di syurga kelak. Amin.

 

Wallahua’lam