Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #146: WASPADA PENYEBARAN AJARAN SESAT BAHARU ‘AGAMA AHMADI’

WASPADA_PENYEBARAN_AJARAN_SESAT_BAHARU_AGAMA_AHMADI.jpg

 

Muqaddimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Sejak akhir-akhir ini, masyarakat Islam di Malaysia dikejutkan dengan kemunculan satu ajaran sesat yang menggunakan nama ‘The Ahmadi Religion Peace and Light’ atau ‘Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya’. Ajaran sesat ini dikepalai oleh seorang individu yang mengaku bahawa dirinya ialah Imam al-Mahdi dengan menggunakan gelaran Abdullah Hashem Aba al-Sadiq. Manakala pendeta (bishop) mereka di Malaysia dan Indonesia bernama Kashfullah Bin Amaluddin.[1] Selain daripada itu, mereka dikatakan mempunyai kitab ‘suci’ mereka sendiri iaitu The Goal of The Wise : The Gospel Of The Riser of The Family of Muhammad dan Saying of Imam Ahmed al-Hassan.[2]

Ajaran sesat ini aktif melakukan pelbagai platform media sosial. Namun mereka menjadi agak popular melalui penstriman langsung (live stream) di platform TikTok. Kebimbangan tercetus kerana akaun Tiktok tersebut mempunyai pengikut lebih 30,000 pengikut (followers) dan mempunyai jumlah penonton yang ramai apabila mereka melakukan, selain menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa komunkasi mereka. Menurut laporan, mereka difahami berada dan beroperasi di luar negara.

Dalam sidang media, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, beliau menjelaskan bahawa pihaknya memandang serius berkaitan perkara ini kerana bimbang akan ajaran ini akan mempengaruhi golongan muda. Beliau juga menegaskan bahawa pihak berkuasa saling bekerjasama dalam memantau kumpulan ajaran tersebut.[3] Bagi pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP), kami juga menyuarakan kebimbangan dan kerisauan yang sama. Oleh keran itu, kami akan menjelaskan dalam artikel ini beberapa kekeliruan dan penyelewengan yang ditimbulkan ajaran tersebut dengan tajuk ‘Al Afkar Siri 146: Waspada Penyebaran Ajaran Sesat Baharu Agama Ahmadi’.

Fenomena Ajaran Sesat

Sesungguhnya kemunculan agama atau ajaran sesat ini bukan sesuatu fenomena yang baharu. Bahkan ia telah wujud sejak dahulu lagi zaman berzaman sehingga hari ini. Antara doktrin-doktrin biasa yang digunakan oleh ajaran-ajaran sesat ini adalah seperti mendakwa dirinya sebagai tuhan atau wakil tuhan, nabi atau pengganti kepada nabi, dan juga mendakwa diri sebagai Imam al-Mahdi. Hal ini bukanlah suatu perkara yang baharu timbul kebelakangan ini, bahkan telah banyak ajaran-ajaran sesat lain yang mendahuluinya. Hal ini dapat dilihat daripada golongan umat terdahulu yang menjadikan pendeta-pendeta mereka sebagai tuhan yang disembah selain daripada Allah SWT. Firman Allah SWT:

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَٰهًا وَاحِدًا ۖ لَّا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۚ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Maksudnya: Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai sembahan-sembahan selain dari Allah SWT dan juga (mereka mempertuhankan) al-Masih Ibn Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan

(Surah al-Taubah: 31)

Bahkan pada zaman Rasulullah SAW dan para Khulafa al-Rasyidin sendiri pun telah timbul ajaran-ajaran sesat. Tiga daripadanya adalah daripada zaman Rasulullah SAW iaitu al-Aswad al-Unsi, Musaylamah al-Kazzab dan Tulayhah Ibn Khuwaylid. Manakala, pada zaman khilafah Saidina Abu Bakar al-Siddiq RAnhu, terdapat tujuh individu yang mengaku sebagai nabi iaitu ‘Uyainah bin Hassan, Qurrah Ibn Salamah al-Qushayry, al-Fuja’ah bin Abd al-Yalil, Malik Bin Nuwayrah, Sajah Binti Mundzir, al-Ash’ath Bin Qays dan al-Hatam bin Zayd. Manakala Jabalah Ibn al-Ayham adalah individu kesebelas yang mengaku sebagai nabi pada zaman khilafah Saidina Umar al-Khattab. [4] Oleh yang demikian, tidak menghairankan jika ajaran-ajaran sesat timbul di zaman kita, apatah lagi dalam situasi kejahilan dan pengaruh keduniaan yang berleluasa pada hari ini.

Walau bagaimanapun, kita harus berpegang kepada panduan yang telah diberikan dan ditinggal untuk kita iaitu al-Quran dan Sunnah, serta dituntut untuk kembali kepada kedua-duanya apabila terdapat perselisihan dalam agama. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيهِ مِن شَيْءٍ فَحُكْمُهُ إِلَى اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمُ اللَّهُ رَبِّي عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

Maksudnya: Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): "Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan).

(Surah al-Syura: 10)

Begitu juga hadis Nabi SAW yang memerintahkan kita agar tetap bersama kebenaran dan al-sawad al-a’zham iaitu majoriti umat Islam yang berada di atas jalan Ahli Sunnah Waljamaah. Sabda Baginda SAW:

فإن بني إسرائيل افترقوا على إحدى وسبعين فرقة، والنصارى على اثنتين وسبعين فرقة، وإن أمتي ستفترق على ثلاث وسبعين فرقة، كلها على الضلالة، إلا السواد الأعظم. قالوا : يا رسول الله ، ما السواد الأعظم؟ قال : من كان على ما أنا عليه وأصحابي.

Maksudnya: Sesungguhnya golongan Bani Israel berpecah kepada 71 golongan dan golongan Nasarani berpecah kepada 72 golongan, manakala umatku akan berpecah kepada 73 golongan, semua golongan berada dalam kesesatan kecuali al-sawad al-a’zham. Para sahabat bertanya, siapakah golongan al-sawad al-a’zham itu? Rasulullah SAW bersabda: Golongan yang berada di atas jalanku dan para sahabatku.

(Riwayat al-Thabrani: 7659)

Selain itu, hadis Rasulullah SAW yang menunjukkan bahawa keperluan untuk bersama dengan al-jama’ah, Rasulullah SAW bersabda:

عَلَيْكُمْ بِالجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالفُرْقَةَ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الوَاحِدِ وَهُوَ مِنَ الِاثْنَيْنِ أَبْعَدُ، مَنْ أَرَادَ بُحْبُوحَةَ الجَنَّةِ فَلْيَلْزَمُ الجَمَاعَةَ

Maksudnya: Hendaklah kalian tetap bersama al-jama’ah dan jangan sesekali kalian berpecah-belah. Ini kerana sesungguhnya syaitan bersama dengan orang yang suka menyendiri dan jika berdua maka syaitan akan bertambah jauh. Sesiapa yang ingin berada di tempat di tengah-tengah Syurga (tempat yang terbaik), maka hendaklah dia melazimi al-jama’ah.

(Riwayat al-Tirmidzi, 2165)

Oleh yang demikian, kita haruslah berwaspada dengan kelompok-kelompok kecil yang membawa dakwaan-dakwaan yang bertentangan dengan ajaran Islam yang dipegang oleh majoriti umat Islam di dunia pada hari ini, yang berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Waljamaah.

Persoalan tentang Dakwaan Imam al-Mahdi.

Melihat kepada elemen-elemen ajaran Agama Ahmadi ini, ia sangat jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Terdapat banyak penyelewengan dan kesesatan yang dibawa oleh ajaran ini sehingga menggugat dan menjejaskan akidah umat Islam. Antara penyelewengan yang berlaku dalam ajaran adalah berkait dengan dakwaan pemimpinnya sebagai Imam al-Mahdi.

Terdapat hadis-hadis yang sahih berkaitan kemunculan dan kekhalifahan Imam al-Mahdi, antaranya seperti berikut:

1- Daripada Abdullah bin Mas’ud RA beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:

لاَ تَذْهَبُ الدُّنْيَا حَتَّى يَمْلِكَ الْعَرَبَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي يُوَاطِئُ اسْمُهُ اسْمِي

Maksudnya: Dunia tidak akan berlalu pergi sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki dari kalangan ahli baitku yang namanya bersamaan dengan namaku.

Riwayat al-Tirmizi (2230)

2- Daripada Abdullah bin Mas’ud RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

‏ لَوْ لَمْ يَبْقَ مِنَ الدُّنْيَا إِلاَّ يَوْمٌ لَطَوَّلَ اللَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ  حَتَّى يَبْعَثَ فِيهِ رَجُلاً مِنِّي  أَوْ ‏‏ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي يُوَاطِئُ اسْمُهُ اسْمِي وَاسْمُ أَبِيهِ اسْمَ أَبِي ‏يَمْلأُ الأَرْضَ قِسْطًا وَعَدْلاً كَمَا مُلِئَتْ ظُلْمًا وَجَوْرًا

Maksudnya: Sekiranya tidak berbaki daripada dunia itu melainkan hanya satu hari nescaya Allah akan memanjangkan hari tersebut sehinggalah Dia mengutuskan seorang lelaki pada hari tersebut yang mana lelaki itu dari kalangan aku – atau dari ahli baitku – Namanya berbetulan dengan namaku dan nama bapanya berbetulan dengan nama bapaku. Dia akan memenuhi bumi dengan penuh adil dan saksama sebagaimana ia (bumi) dahulunya dipenuhi oleh kegelapan dan kezaliman.

Riwayat Abu Daud (4282)

3- Daripada Abu Sa’id al-Khudri RA beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:

‏ الْمَهْدِيُّ مِنِّي أَجْلَى الْجَبْهَةِ أَقْنَى الأَنْفِ يَمْلأُ الأَرْضَ قِسْطًا وَعَدْلاً كَمَا مُلِئَتْ جَوْرًا وَظُلْمًا يَمْلِكُ سَبْعَ سِنِينَ

Maksudnya: Al-Mahdi dariku. Dahinya luas dan hidungnya mancung. Dia akan memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia dahulunya dipenuhi dengan kezaliman dan dia akan menguasai selama tujuh tahun.

Riwayat Abu Daud (4285)

4- Dari Ummu Salamah RAnha berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:

‏ الْمَهْدِيُّ مِنْ عِتْرَتِي مِنْ وَلَدِ فَاطِمَةَ

Maksudnya: Al-Mahdi dari ‘itrah (keturunan) ku dari anak Fatimah.

Riwayat Abu Daud (4284)

5- Dari Saidina Ali bin Abi Talib RA beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:

‏ الْمَهْدِيُّ مِنَّا أَهْلَ الْبَيْتِ يُصْلِحُهُ اللَّهُ فِي لَيْلَةٍ 

Maksudnya: Al-Mahdi dari kalangan kami (ahli bayt) yang Allah perbaiki dirinya pada satu malam.

Riwayat Ibn Majah (4085) 

6- Diriwayatkan daripada Thauban RA beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:

إِذَا رَأَيتُمْ الرَّايَاتَ السُّودِ قَدْ جَاءَتْ مِنْ قِبَلِ خُرَاسَانَ فَأتوهَا، فَإِنَّ فِيهَا خَلِيفَة الله المَهْدِي

Maksudnya: Apabila kalian melihat panji-panji hitam telah datang dari arah Khurasan maka datangilah ia. Kerana sesungguhnya padanya terdapat Khalifah Allah al-Mahdi.

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/502)

Berdasarkan hadis-hadis di atas menujukkan bahawa sememangnya peristiwa kemunculan Imam al-Mahdi di akhir zaman dan karakteristiknya itu ada disebut oleh Rasulullah SAW. Adapun karateristik yang dinyatakan seperti yang dinyatakan dalam artikel Bayan Linnas Siri Ke-43 : Imam Mahdi Menurut Pandangan Ahlus Sunnah adalah seperti berikut:

Tanda-Tanda Al-Mahdi

  • Di bahagian bahunya ada tanda yang sama pada bahu Nabi SAW.
  • Beliau akan berkumpul bersama Nabi Isa AS dan Nabi Isa akan bersolat di belakangnya.
  • Penduduk bumi akan merasa cukup pada zaman kekuasaannya dan banyaknya keberkatan dari bumi akan keluar.
  • Beliau akan menanam satu batang kayu di atas tanah yang kering lalu ia akan menjadi hijau dan berdaun.

Sifat-Sifat Keperibadian Imam Al-Mahdi

Di antara sifat-sifat keperibadian Imam al-Mahdi AS adalah:

  • Beliau merupakan seorang anak Adam.
  • Dahinya luas dan hidungnya mancung.
  • Kedua-dua matanya bercelak.
  • Wajahnya bercahaya seakan-akan beliau adalah bintang yang menyinar.
  • Di bahagian bahunya ada tanda seperti yang terdapat pada Rasulullah SAW.
  • Warna kulitnya adalah warna orang Arab dan tubuh badannya seperti tubuh orang Israel.
  • Umurnya 40 tahun dan dalam sebahagian riwayat 30 hingga 40 tahun.
  • Akhlak beliau menyerupai akhlak Nabi SAW.

Berkaitan dengan waktu turunnya Imam al-Mahdi pula, ia berlaku pada ketika turunnya Nabi Isa AS. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abd Allah Radhiallahu anhu beliau berkata: Rasulullah S.A.W bersabda:

فَيَنْزِلُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ صلى الله عليه وسلم فَيَقُولُ أَمِيرُهُمْ تَعَالَ صَلِّ لَنَا ‏.‏ فَيَقُولُ لاَ ‏.‏ إِنَّ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ أُمَرَاءُ ‏.‏ تَكْرِمَةَ اللَّهِ هَذِهِ الأُمَّةَ

Maksudnya: Isa bin Maryam AS turun lalu berkata pemimpin mereka (al-Mahdi): Marilah solat bersama kami. Lalu Isa berkata: Tidak, sesungguhnya sebahagian kalian menjadi pemimpin atas sebahagian yang lain. Kemuliaan Allah kepada umat ini.

Riwayat Muslim (247)

Apa yang disebutkan di atas ini berkaitan ciri-ciri dan karakteristik Imam al-Mahdi. Jika diperhatikan dengan teliti, hampir semua ciri-ciri ini tidak didapati pada semua dakwaan pelbagai individu yang mendakwa dirinya adalah Imam al-Mahdi termasuklah ketua ajaran agama Ahmadi ini iaitu Abdullah Hashem Aba al-Sadiq. Oleh yang demikian, kita perlu kembali merujuk kepada hadis yang memberi panduan dan menerangkan karakteristik dan ciri-ciri sebenar Imam al-Mahdi. Setiap dakwaan yang dibawa oleh individu-individu tertentu hendaklah diperiksa dan diselidiki dengan teliti terlebih dahulu. Apatah lagi jika dakwaan tersebut melibatkan akidah dan keyakinan kita kepada asas-asas agama Islam seperti dakwaan mengakui diri sebagai Imam al-Mahdi.

Kaitan dengan Syiah Imam Dua Belas

Syiah Imam dua belas atau juga dikenali sebagai Syiah Ithna ‘Asyriyyah merupakan satu mazhab syiah yang terbesar yang wujud hingga ke hari ini. Mereka mempunyai akidah dan disiplin ilmu yang tersendiri dengan kitab-kitab rujukan daripada para ulama mereka yang dianggap muktabar dalam kalangan pengikut. Mazhab ini juga menjadi mazhab rasmi negara Iran sekarang[5].

Salah satu ajaran utama Mazhab Syiah Ithna ‘Asyriyyah ialah konsep ‘al-Imamah’ yang bermaksud imam iaitu pemimpin umat Islam mestilah orang-orang yang maksum yang telah dilantik oleh Allah SWT melalui nas Nabi SAW. Imam yang maksum ini ialah dua belas orang imam yang dipegang oleh mereka dan diangkat setaraf dengan pangkat kenabian. Oleh yang demikian, pemerintahan para Khulafa al-Rasyidin dan pemerintah-pemerintah Islam selepasnya adalah tidak sah.[6]

Terdapat banyak persamaan yang boleh didapati antara Ajaran Ahmadi dan Syiah Ithna ‘Asyriyyah walaupun mereka sendiri tidak mengaku sebagai pecahan daripada mazhab syiah tersebut. Antara persamaan antara dua ajaran ini ialah mempercayai konsep al-Imamah yang telah diterangkan sebelum ini. Ajaran Ahmadi juga mempercayai bahawa hanya imam yang dilantik oleh Allah melalui wasiat Nabi SAW sahaja yang boleh memimpin umat Islam, iaitu 12 imam mahdi. Namun, 12 imam yang dipercayai oleh mereka ini bukanlah imam 12 yang terdapat dalam mazhab Syiah Ithna ‘Asyriyyah, sebaliknya ia merupakan 12 imam mahdi yang datang selepas 12 imam di Syiah Ithna ‘Asyriyyah. Mereka juga mengatakan bahawa semua pemerintah Islam tidak sah dan tidak perlu diikuti, bahkan mereka juga mengatakan bahawa ajaran Islam yang diamalkan oleh umat Islam zaman sekarang telah diseleweng oleh pemerintah dan ulama-ulama yang mengikuti mereka.

Konsep yang dipegang oleh mereka ini jelas bercanggahan dengan akidah Ahli Sunnah wal Jama’ah yang berpegang bahawa hanya Rasulullah SAW yang maksum dan semua perkataan manusia boleh diterima dan ditolak kecuali apa yang dikatakan oleh Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:

‌وَمَا ‌يَنطِقُ عَنِ ٱلۡهَوَىٰٓ ٣ إِنۡ هُوَ إِلَّا وَحۡي يُوحَىٰ

Maksudnya: “Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.”

(Surah al-Najm: 3-4)

Kata Imam Malik:

كل أحد يؤخذ من قوله ويرد إلا صاحب هذا القبر صلى الله عليه وسلم.

Maksudnya: “Setiap seseorang itu boleh diambil dan ditolak kata-katanya kecuali pemilik kubur ini (iaitu Rasulullah SAW).” [7]

Selain kepercayaan ajaran Ahmadi kepada al-Imamah yang menyerupai Syiah Ithna ‘Asyriyyah, mereka juga mengucap kalimah syahadah dengan menambah penyaksian bahawa Ali RA, para imam dua belas dan mahdi-mahdi mereka merupakan hujah Allah di samping banyak menggunakan kitab-kitab syiah sebagai rujukan hadis. Sepertimana yang umum mengetahui, ajaran syiah daripada semua alirannya telah difatwakan sesat di Malaysia[8], maka jelaslah bahawa ajaran yang menyerupai syiah seperti ajaran Ahmadi ini juga merupakan ajaran yang sesat dan menyeleweng yang wajib untuk dijauhi oleh semua umat Islam.

Hubungan Ajaran Ahmadi dengan LGBT

Ajaran ini juga dikaitkan dengan Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender (LGBT) apabila sebahagian daripada mereka ditahan kerana mempromosikan hak-hak LGBT pada 29 Julai 2023 yang lepas[9]. Dalam sebuah video yang dikeluarkan oleh pihak ajaran itu sendiri, mereka mendakwa bahawa orang yang terjebak dengan LGBT tidak boleh dihukum kerana ia bercanggahan dengan sifat Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Mereka juga mengatakan bahawa seseorang itu bukan sahaja boleh mempunyai kecenderungan LGBT kerana faktor persekitaran, tetapi kecenderungan itu boleh juga datang daripada faktor genetik yang diwarisi dan tidak boleh dihilangkan[10].

Hal ini secara jelas bercanggahan dengan nas-nas agama dan juga bercanggahan dengan akal yang waras. Firman Allah SWT Ketika menceritakan kisah kaum Nabi Lut AS:

وَلُوطًا إِذۡ قَالَ لِقَوۡمِهِۦٓ أَتَأۡتُونَ ٱلۡفَٰحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنۡ أَحَد مِّنَ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٨٠ إِنَّكُمۡ لَتَأۡتُونَ ٱلرِّجَالَ شَهۡوَةٗ مِّن دُونِ ٱلنِّسَآءِۚ بَلۡ أَنتُمۡ قَوۡم مُّسۡرِفُونَ ٨١

Maksudnya: Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan yang perempuan, bahkan kami ini adalah kaum yang melampaui batas.

(Surah al-A’raf: 81-82)

Ayat ini jelas mencela kaum Nabi Lut yang melakukan perbuatan homoseksual dan mengkategorikan perbuatan tersebut sebagai fahisyah yang bermakna kesalahan yang amat buruk dan keji. Allah SWT juga telah menurunkan azab yang buruk kepada kaum Nabi Lut AS atas perbuatan mereka yang diceritakan dalam firman-Nya:

فَلَمَّا جَآءَ أَمۡرُنَا ‌جَعَلۡنَا ‌عَٰلِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمۡطَرۡنَا عَلَيۡهَا حِجَارَة مِّن سِجِّيل مَّنضُود ٨٢ مُّسَوَّمَةً عِندَ رَبِّكَۖ وَمَا هِيَ مِنَ ٱلظَّٰلِمِينَ بِبَعِيد ٨٣

Maksudnya: Maka apabila datang (masa pelaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan Kami menghujani dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu, dan Dia pula tidaklah jauh daripada orang-orang yang zalim itu.

(Surah Hud: 82-83)

Imam al-Sa’adi ketika mentafsirkan ayat ini berkata bahawa orang-orang yang zalim dalam ayat ini merujuk kepada orang yang melakukan perbuatan yang sama seperti kaum Nabi Lut dan ayat ini juga menjadi peringatan agar kita tidak mengulangi perbuatan homoseksual tersebut supaya tidak diazab sepertimana azab yang menimpa mereka[11]. Mana mungkin Allah meletakkan LGBT menjadi fitrah kepada sebahagian manusia kemudian mencela dan mengazabnya atas perbuatan itu. Benar, orang yang terjebak dalam kelakuan ini mestilah dinasihati agar dia meninggalkan perbuatan tersebut, namun jika mereka tetap berkeras untuk meneruskan bahkan menghalalkan dan mempromosikan perbuatan tersebut maka dia perlulah dihukum dan dijauhkan daripada masyarakat. Hukuman dan celaan ke atas golongan LGBT ini juga sebenarnya tidak bercanggah dengan sifat Allah yang Maha Penyayang dan Maha Mengasihani, bahkan sebenarnya itulah tanda sifat penyayang Allah terhadap manusia kerana melarang perkara-perkara yang memang keji dan terkutuk dalam penilaian akal yang waras.

Penutup

Kesimpulannya, ajaran agama Ahmadi ini amat jelas bertentangan dengan agama Islam. Ia merupakan sinkritisme yang mencampur-adukkan fahaman daripada aliran pemikiran dan agama yang pelbagai sehingga mewujudkan satu bentuk agama baharu. Hubungan dan kaitan kepercayaan mereka kepada fahaman yang sesat seperti dakwaan palsu tentang Imam al-Mahdi, pegangannya yang sama dengan fahaman Syiah Ithna ‘Asyriyyah (Syiah Imam dua belas), sokongan mereka terhadap gerakan LGBT serta penyelewengan-penyelewengan yang lain menunjukkan betapa terpesong dan jauhnya mereka daripada ajaran Islam yang sebenar.

Dalam perkara seperti ini, kita harus merujuk kepada para alim ulama dan mendapatkan panduan mereka dalam menjawab kekeliruan-kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh mereka. Hal ini disebutkan oleh Rasulullah SAW bahawa apabila ulama telah tiada, maka orang ramai akan melantik pemimpin mereka daripada kalangan orang yang jahil, lalu mereka menjadi sesat dan menyesatkan orang lain. Sabda Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوْسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT tidak mengangkat ilmu dengan cara menarik sekaligus ilmu tersebut daripada hamba-hamba-Nya. Namun, Allah SWT mengangkat ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi jawapan tanpa berpandukan ilmu. Golongan mereka itu sesat lagi menyesatkan.

Riwayat al-Bukhari (100) dan Muslim (2673)

Seseorang muslim yang mempunyai keimanan yang kuat dan pengetahuan agama yang cukup sudah tentu tidak akan terpedaya dengan dakyah dan dakwaan palsu ajaran tersebut. Namun begitu, kita tetap harus berwaspada agar tidak ditipu dan dikelirukan dengan cara mereka memanipulasikan ayat-ayat suci al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW dengan kefahaman yang sengaja diselewengkan bagi membenarkan dakwaan mereka. Sebaliknya kita kembali kepada kefahaman yang sebenar seperti yang dijelaskan oleh para ulama.

Waallahu a’lam.

 

Rujukan: 

[1] https://theahmadireligion.org/bishops/

[2] https://theahmadireligion.org/goalofthewise/

[3] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/03/1220728/ajaran-sesat-ahmadi-%E2%80%93-agama-keamanan-dan-cahaya-dipercayai

[4] Wan Haslan Khairuddin. 2022. “Kerangka Kajian Ajaran Sesat Menurut Ahli Sunah Waljamaah: Framework for the Study of Heresy According to Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jamā‘ah”. Journal of Ifta and Islamic Heritage 1 (1):120-49.

[5] Mengenal Hakikat Syiah, (Putrajaya: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 2020), 8

[6] Ibid

[7] Malik bin Anas, al-Muwatta’, (Abu Dhabi: Muassah Zaid bin Sultan Aal Nahyan li al-A’mal al-Khairiyyah wa al-Insaniyyah, 2004), 1:250.

[8] Rujuk e-smaf Larangan Mengamalkan Ajaran dan Amalan Syiah:

http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/12563

[9] Rujuk Utusan TV:

https://utusantv.com/2023/07/31/polis-tahan-8-individu-sertai-perhimpunan-lgbtq-depan-sogo/

[10] Rujuk: (Bhg. 2/3) Ahmadi - Agama Keamanan dan Cahaya Menjawab Fitnah Ust Dr Mat Rofa Bahagian 2/3

https://www.youtube.com/watch?v=If8W0iEN4-E&t=445s

[11] Abdul Rahman bin Nasir bin Abdullah al-Sa’di, Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, (T.tp: Muassah al-Risalah, 2000), 386-387.

{مسومة عند ربك} أي: معلمة، عليها علامة العذاب والغضب، {وما هي من الظالمين} الذين يشابهون لفعل قوم لوط {ببعيد} فليحذر العباد، أن يفعلوا كفعلهم، لئلا يصيبهم ما أصابهم