Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2007: HUKUM WANITA DALAM IDDAH KEMATIAN SUAMI BERPINDAH RUMAH LAIN KERANA TEKANAN PERASAAN

HUKUM_WANITA_DALAM_IDDAH_KEMATIAN_SUAMI_BERPINDAH_RUMAH_LAIN_KERANA_TEKANAN_PERASAAN.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ada soalan berkenaan seorang isteri baru kematian suami, dan merupakan ibu tiri kepada anak suaminya. Anak tiri tersebut tidak menghalau keluar ibu tirinya dari rumah tetapi setiap hari memberi tekanan kepada si ibu tiri atas sebab benci dan tidak suka kepadanya dari awal perkahwinan bersama arwah ayah mereka. Atas sebab iddah, si ibu tiri (balu) terpaksa menahan perasaan tinggal di rumah arwah suaminya walaupun menerima tekanan setiap hari dari anak-anak tirinya.

Soalan saya, adakah dibolehkan si ibu tiri itu keluar dari rumah arwah suaminya dan tinggal di tempat lain walaupun masih dalam tempoh iddah atas sebab mengelak dari tekanan anak tirinya. Seperti yang kita tahu, tekanan perasaan tidak boleh dibiarkan, dan sudah banyak kes-kes tekanan sehingga menyebabkan kes bunuh diri. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Wanita dalam iddah kematian suami wajib menjalani iddahnya selama empat bulan sepuluh hari di rumah yang didiami bersama suami semasa hayatnya. Isteri tersebut hendaklah berkabung atas kematian suaminya sepanjang tempoh iddah. Walau bagaimanapun sekiranya isteri yang kematian suaminya berasa tertekan atau khuatir akan keselamatan dirinya kerana disakiti oleh ahli keluarga suami di rumah arwah tersebut, maka dia diharuskan berpindah dan menjalani iddahnya di rumah yang lain. Wallahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW dan seluruhnya.

Nafkah tempat tinggal merupakan nafkah wajib yang diberikan kepada isteri yang diceraikan samada dengan talak raj’ie (yang boleh dirujuk) atau talak ba’in. Suami atau waris suami hendaklah memastikan tempat tersebut sesuai dan selamat untuk isteri yang diceraikan tinggal di tempat itu sepanjang tempoh iddahnya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ

Maksudnya: “Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu).”

(Surah al-Talaq :6)

Menurut mazhab al-Syafi’i, isteri kematian suami wajib menjalani ‘iddahnya selama empat bulan sepuluh hari di rumah yang dia menetap ketika suaminya masih hidup. Isteri tersebut hendaklah berkabung atas kematian suaminya sepanjang tempoh iddah.

Allah SWT juga menghalang wanita yang berada dalam iddah sama ada diceraikan atau disebabkan kematian suami keluar rumah atau dihalau keluar kecuali dia seorang isteri yang nusyuz sepertimana yang disebut dalam firman Allah SWT::

لَا تُخْرِجُوهُنَّ مِن بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخْرُجْنَ إِلَّا أَن يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ

Maksudnya: Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata.”

(Surah al-Talaq :1)

Walau bagaimanapun, jika wanita dalam iddah berasa terancam dan khuatir akan keselamatan dirinya atau dia disakiti oleh jiran tetangga mahupun ipar duai, maka dia harus berpindah ke rumah yang lain. Ini berdasarkan kenyataan Imam Ibn Hajar al-Haitami berikut:

(وَتَنْتَقِلُ) جَوَازًا (مِنْ الْمَسْكَنِ لِخَوْفٍ) عَلَى نَفْسِهَا أَوْ نَحْوِ وَلَدِهَا أَوْ مَالٍ وَلَوْ لِغَيْرِهَا كَوَدِيعَةٍ وَإِنْ قَلَّ أَوْ اخْتِصَاصٍ كَذَلِكَ فِيمَا يَظْهَرُ (مِنْ) نَحْوِ (هَدْمٍ أَوْ غَرَقٍ) أَوْ سَارِقٍ (أَوْ) لِخَوْفِ (عَلَى نَفْسِهَا) مَا دَامَتْ فِيهِ مِنْ رِيبَةٍ لِلضَّرُورَةِ وَظَاهِرٌ أَنَّهُ يَجِبُ الِانْتِقَالُ حَيْثُ ظَنَّتْ فِتْنَةً كَخَوْفٍ عَلَى نَحْوِ بُضْعٍ وَمِنْ ذَلِكَ أَنْ يَنْتَجِعَ قَوْمُ الْبَدَوِيَّةِ وَتَخْشَى مِنْ التَّخَلُّفِ كَمَا يَأْتِي (أَوْ تَأَذَّتْ بِالْجِيرَانِ) أَذًى شَدِيدًا أَيْ لَا يُحْتَمَلُ عَادَةً فِيمَا يَظْهَرُ (أَوْ هُمْ) تَأَذَّوْا (بِهَا أَذًى شَدِيدًا) كَذَلِكَ (وَاَللَّهُ أَعْلَمُ) لِلضَّرُورَةِ أَيْضًا وَرَوَى مُسْلِمٌ «أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ قَيْسٍ كَانَتْ تَبْذُو عَلَى أَحْمَائِهَا فَنَقَلَهَا - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - عَنْهُمْ إلَى بَيْتِ ابْنِ أُمِّ مَكْتُومٍ»  

Maksudnya: “Dibolehkan (wanita dalam iddah) berpindah dari rumah kelamin kerana khuatir akan keselamatan dirinya atau anaknya atau hartanya dan harta orang lain seperti harta simpanan walaupun sedikit disebabkan keruntuhan, tenggelam atau pencuri. Begitu juga (dibenarkan wanita dalam iddah berpindah dari rumah kelamin) kerana khuatir keselamatan diri selagi mana ada sangkaan darurat dan zahirnya wajib berpindah sekiranya wanita itu menyangka berlaku ujian seperti kerisauan terhadap perkara tersebut, begitu juga seperti kaum badwi perlu berkembang kerana dikhuatiri berlaku kemunduran.  

(Dibolehkan berpindah) kerana disakiti oleh jiran tetangga dengan sesuatu yang menyakitkan yang tidak boleh ditanggung mengikut kebiasaan manusia atau dia menyakiti jiran dengan kesakitan yang teruk kerana darurat. Ini juga sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, bahawa Fatimah Binti Qays disakiti oleh ipar-duainya. Maka Rasulullah SAW memisahkannya daripada mereka ke rumah rumah Ibn Abi Maktum.  

Kesimpulan

Berdasarkan kenyataan tersebut, sekiranya isteri yang kematian suaminya berasa tertekan kerana disakiti oleh ahli keluarga suami di rumah arwah suaminya, maka dia dibenarkan untuk berpindah dan menjalani iddahnya di rumah yang lain. 

Wallahu a’lam.

 

Rujukan:

  1. Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, 1983)  8:262-263